PRK Ayer Kuning: Dr Ustaz Yusri Doa Perjalanan Pulang Pengundi Luar

TAPAH, 24 April – Calon Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Yusri Bakir berharap
pengundi luar yang bakal pulang ke kampung halaman, Ayer Kuning untuk berhati-hati di jalan raya.

Beliau malah mendoakan perjalanan mereka dipermudahkan bagi menunaikan tanggungjawab sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

“Kepada pengundi luar harapan saya dan BN agar mereka dapat pulang untuk mengundi pada PRK ini dan sudah pasti saya mengharapkan mereka untuk mengundi BN.

“Balik dan pulang dengan keadaan selamat,” katanya.

Dr Ustaz Yusri berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Tiga Penjuru di Stadium Mini Tapah, hari ini.

Mengulas lanjut beliau turut sama merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti yang membantu sepanjang berkempen.

Beliau berkata ini kerana usaha keras mereka itu jelas terbukti melalui komitmen tinggi demi memastikan kemenangan BN pada PRK ini.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jentera yang bertungkus lumus berusaha memenangkan BN pada PRK ini

“Mereka bekerja dengan penuh komitmen bagi memastikan kemenangan BN pada PRK ini,” ujar beliau.

Untuk rekod calon BN pada PRK ini berdepan dengan tiga penjuru antaranya wakil daripada Perikatan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia.

Dr Ustaz Yusri yang juga yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah merupakan bekas pensyarah di IPG Kampus Ipoh yang telah berkhidmat sejak 2007.

Merupakan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah, Dr Ustaz Yusri mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52.

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit