PRK: Manifesto BN Bukan Janji Kosong, Mampu Dilaksana – Rais

TAPAH, 24 April – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin melihat manifesto ataupun tekad yang dibuat oleh calon Barisan Nasional (BN), Dr. Ustaz Yusri Bakir pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah menyeluruh menangkumi dari segenap aspek.

Ujarnya, latar belakang Dr Ustaz Yusri itu sendiri yang datangnya dari sudut akademik banyak memberi ruang kepada tawaran yang menyeluruh termasuklah orang muda.

“Manifesto ini menyeluruh merangkumi daripada segenap aspek kerana kita tahu beliau juga adalah datangnya daripada sudur orang akademik dan juga melibatkan anak muda, jadi ini adalah satu janji yang insya-Allah boleh ditunaikan.

“Ini bukanlah janji-janji yang melihat daripada langit, bulan dan bintang tapi tidak berpijak di bumi yang nyata. Insya-Allah ia mampu ditunaikan,” katanya kepada UMNO Online

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput mengulas berkaitan manifesto yang dibentangkan oleh Dr Ustaz Yusri Ahad lalu bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera’.

Dalam usaha merealisasikan tekad tersebut, Rais menekankan pentingnya untuk pengundi memilih pemimpin DUN yang selari dengan kerajaan negeri dan pusat.

“Saya merayu dan berharap agar para pengundi termasuklah anak-anak muda akan pulang… tak kira kaum ataupun bangsa manapun sekali maka kita laksanakan tanggungjawab pada 26 April ini untuk mengundi calon daripada BN.

“Di DUN Ayer Kuning ini kita melihat kerjasama antara jentera BN dan Pakatan Harapan melalui Kerajaan Perpaduan yang pada saya ini adalah kerjasama yang sangat betul,” katanya.

Beliau yang melaksanakan kempen membantu calon BN di sini bersama-sama jentera dari Negeri Melaka juga akan melipatgandakan usaha menjelangnya hari mengundi.

“Jadi untuk larian di saat-saat akhir ini, sudah tentu kita terlibat secara langsung dan kita menekankan kepada semua jentera yang ada di sini untuk melipatgandakan usaha bagi memastikan pengundi-pengundi keluar pada hari pengundian dan memilih BN.

“Kami jentera Negeri Melaka bersama Bahagian Lumut adalah negeri angkat di PDM Ayer Kuning, maka kali ini kami akan pastikan membawa kepada kemenangan di PDM ini.”

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN yang calon Perikatan Nasional dan calon Parti Sosialis Malaysia.

Kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar, terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit