‘Undi Dr Ustaz Yusri Tanpa Ragu-ragu’ – Noraini

TAPAH, 24 April – Wanita UMNO Malaysia terus menyantuni pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sehingga saat akhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berakhir esok.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata ia penting bagi memastikan setiap pelosok rakyat di kawasan ini didekati bagi menyampaikan aspirasi parti.

“Wanita UMNO memang bekerja keras kerana mahukan calon BN menang.

“Bukan hanya menang tapi menang bergaya dan sebagai ahli parti inilah peranan kita membantu dengan bertemu rakyat sebanyak mungkin.

“Jentera kerap menemui pengundi untuk memberikan penerangan sekiranya ada lagi pertanyaan daripada pengundi,” katanya.

Noraini berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada Program Hari Wanita Pekebun Kecil di Dewan Serbaguna Temoh Stesen.

Beliau dalam pada itu berkata rakyat tanpa ragu-ragu perlu memilih calon BN, Dr Ustaz Yusri sebagai sebagai wakil rakyat baharu mereka bagi memastikan agenda membela nasib rakyat dapat diteruskan di bawah kerajaan negeri.

“Secara personal saya lihat calon ini diterima baik oleh majoriti daripada penduduk di Ayer Kuning sebab apabila berjalan rumah ke rumah sambil kenalkan calon mereka kata sudah kenal calon, dia adalah guru, kenal bapanya yang juga guru mengaji.

“Maknanya kita mempunyai calon yang cukup baik, tepat untuk mewakili BN. Kita harapkan nanti apabila pengundi keluar mengundi tanpa ragu-ragu memilih calon BN,” ujar beliau.

Untuk rekod calon BN pada PRK ini berdepan dengan tiga penjuru wakil daripada Perikatan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia.

Dr Ustaz Yusri yang juga yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah merupakan bekas pensyarah di IPG Kampus Ipoh yang telah berkhidmat sejak 2007.

Merupakan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah, Dr Ustaz Yusri mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52.

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit