PRK: Kepercayaan, Keyakinan Rakyat Kepada BN Masih Menebal – Abdul Rahman
TAPAH, 24 April – Kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) masih menebal maka ia memudahkan calon ditandingi, Dr Ustaz Yusri Bakir untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, komitmen yang telah diberikan oleh allahyarham Ishsam Shahruddin ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga menjadi asbab selain daripada kesetiaan rakyat di kawasan tersebut kepada BN.
“Hari ini saya berada di pusat daerah mengundi (PDM) Simpang Tiga di Kampung Petalin. Saya telah menjelajah banyak kampung sempena pilihan raya ini. Sama seperti di PRK Nenggiri, Mahkota dan juga pilihan raya di enam negeri. Saya memang seronok bekerja seperti ini kerana dapat berjumpa dengan orang ramai dan dapat tahu serba sedikit permasalahan orang kampung. Kebetulan saya ada jawatan, saya dapat tengok serba sedikit apa yang boleh kita bantu.
“Pada pengamatan saya untuk PRK di sini, saya dapati bahawa mereka (rakyat) masih lagi setia kepada BN. Mungkin pada zaman allahyarham Ishsam, beliau memang beri perkhidmatan yang terbaik di sini.
“Lantaran itu, saya melihat tidaklah menjadi kesukaran kepada calon kita Datuk Ustaz Yusri Bakir yang Insya-Allah akan menjadi pilihan daripada rakyat di kawasan ini. Mudah sebenarnya kerana apabila kita berjalan ke kampung-kampung, masyarakat mengenali beliau dan juga masih mengenang jasa allahyarham Ishsam,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, beliau mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa masyarakat di DUN Ayer Kuning akan terus memilih BN pada PRK ini.
“Keyakinan itu amat tinggi untuk saya… bahawa masyarakat di kawasan ini akan memilih lagi calon BN. Saya dapati daripada pertanyaan-pertanyaan kita, ada pengundi luar yang akan balik beramai-ramai untuk pastikan calon kita BN menang. BN setakat ini masih di hati rakyat.
“Maka saya yakin daripada gerak kerja para jentera, kepercayaan dan keyakinan kepada BN itu amat menebal lagi sebenarnya. Insya-Allah calon kita akan berjaya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyasarkan bahawa akan terdapat peningkatan undi majoriti kepada BN dengan berkat sokongan dan usaha para jentera yang bekerja bersungguh-sungguh.
“Harapan saya kita akan boleh menang besar seperti di Mahkota dan Nenggiri. Di Nenggiri, kita kalah agak besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN), tetapi kita menang semula dengan majoriti agak besar. Di Mahkota kita memang, kita juga ‘incumbent’ dan daripada majoriti yang kita perolehi meningkat lebih daripada 300 peratus undi.
“Saya juga yakin bahawa majoriti di kawasan ini akan meningkat lebih tinggi juga memandangkan sokongan dan juga jentera yang bekerja bersungguh-sungguh. Kalau kita melihat persekitaran ini, seolah-olah Perikatan Nasional (PN) sendiri pun dah mati akal, tak boleh nak meneruskan perjuangan mereka di kawasan ini. Itu telah memberi ‘signal’ bahawa calon BN akan perolehi kemenangan pada PRK ini,” katanya lagi.
BN telah mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri Bakir sebagai calon di PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.
Pertandingan tiga penjuru tersebut telah menyaksikan beliau berentap dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Sosialis Malaysia.
Dr Ustaz Yusri Bakir merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman