PRK Ayer Kuning: Undi BN, Beri Jaminan Untuk Masa Hadapan – Jailani

TAPAH, 24 April – Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diseru untuk memberikan undi kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini demi jaminan masa hadapan mereka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jailani Johari memaklumkan bahawa beliau dapat melihat masyarakat di DUN Ayer Kuning mengenali dan menerima baik calon yang diketengahkan BN pada PRK ini.

“Saya adalah MKT angkat dan juga negeri angkat untuk dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu Pekan Getah serta Kampung Raya. Saya berkesempatan untuk melawat lebih kurang enam buah rumah di Pekan Getah, alhamdulilah saya melihat penerimaan mereka cukup baik. Begitu juga di Kampung Raya.

“Maknanya, dari segi penerimaan melalui perbincangan bersama dengan para pengundi, saya nampak sendiri bahawa mereka akan memberikan undi kepada calon kita, Dr Ustaz Yusri Bakir untuk PRK kali ini,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin juga telah menjalankan tugas beliau dengan sebaiknya sebelum ini.

“Dulu pun kita (BN) yang menang kerusi ini. Jadi, kalau mereka (rakyat) nak memilih kerajaan untuk mendapatkan bantuan dan sebagainya, mereka perlu mengundi BN. Melainkan kalau mereka berfikiran sebaliknya.

“Kebanyakan yang saya lihat dan jumpa di sini memang setia kepada BN. Kita harap kalau boleh para pengundi termasuklah yang berada di luar sana… kalau mereka pulang, undilah BN kerana mereka dah lihat bahawa Allahyarham Ishsam memainkan peranan terbaik semasa menjadi ADUN.

“Banyak pembangunan yang telah beliau (Ishsam) bawa terutamanya di kawasan Ayer Kuning. Apabila saya bertanyakan kepada para pengundi di kawasan ini, rata-rata senang dengan calon yang BN ketengahkan kerana mereka yakin Dr Ustaz Yusri Bakir mampu memberikan perkhidmatan seperti allahyarham Ishsam,” katanya lagi.

Menurutnya, anak-anak muda harus mempunyai rasa tanggungjawab untuk pulang mengundi dan memberikan kemenangan kepada BN demi masa hadapan mereka.

“Anak-anak muda yang berada di luar kawasan ini sekiranya memikirkan masa hadapan mereka… mereka harus ada satu sifat tanggungjawab untuk pulang dan memberikan kemenangan kepada BN demi masa hadapan mereka.

“Jangan kita terpedaya dengan apa yang disalurkan (oleh pihak lawan) terutamanya di media sosial. Saya percaya anak-anak muda sekarang ini lebih bijak menilai apa yang baik dan tidak baik untuk mereka.

“Jadi, saya ingin menasihatkan anak-anak muda ini, jangan ambil satu tindakan yang akan merugikan masa hadapan mereka sendiri. Jadi, mereka perlu ada satu sifat tanggungjawab, pulang ke kampung untuk mengundi BN terutamanya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru masyarakat di DUN Ayer Kuning untuk mengekalkan penguasaan BN di kawasan tersebut supaya pembangunan dan kesejahteraan mereka terjamin.

“Pertama nak keluar mengundi nanti kena bawa kad pengenalan. Kedua, undilah calon yang dapat memberi jaminan masa hadapan terutamanya untuk penduduk-penduduk di Ayer Kuning.

“Seperti yang saya nyatakan tadi, sekiranya mereka memilih kerajaan negeri… Insya-Allah pembangunan dan kesejahteraan mereka akan terjamin. Jangan silap pilih pada kali ini,” katanya lagi.

BN telah mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri Bakir sebagai calon di PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.

Pertandingan tiga penjuru tersebut telah menyaksikan beliau berentap dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Sosialis Malaysia.

Dr Ustaz Yusri Bakir merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit