PRK Ayer Kuning: Manifesto Dr. Ustaz Yusri Realistik, Perlu Disokong – Abdul Rahman

TAPAH, 24 April – Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyatakan keyakinan penuh terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr. Ustaz Yusri Bakir, yang menurutnya membawa pendekatan realistik dan bersifat menyeluruh dalam manifesto pilihan rayanya.

Katanya, manifesto Dr. Ustaz Yusri yang merangkumi tiga tekad dan tujuh tawaran disusun dengan cara yang mudah difahami rakyat, khususnya pengundi di kawasan luar bandar seperti Ayer Kuning.

“Tiga tekad utama beliau ialah menjamin perpaduan dan keharmonian antara kaum, menolak sekeras-kerasnya sentimen perkauman, serta memajukan ekonomi tempatan berdasarkan kekuatan sedia ada. Ini adalah tekad yang amat penting kerana tanpa kestabilan politik dan perpaduan, negara tidak akan mampu berkembang dengan baik,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama UMNO Online, di sini.

Abdul Rahman turut menzahirkan kebimbangan berikutan semakin rapuhnya perpaduan antara kaum di negara ini, termasuk ketegangan yang wujud bukan sahaja dari segi agama dan kaum, malah turut melibatkan jurang antara wilayah seperti Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung, serta antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Dalam hal ini, beliau yakin dengan komitmen Dr. Ustaz Yusri yang secara jelas menolak politik perkauman dan menyifatkannya sebagai pendekatan matang dan wajar disokong oleh semua lapisan masyarakat.

Mengenai pembangunan ekonomi setempat, Abdul Rahman mencadangkan agar satu audit sosioekonomi dilakukan bagi mengenal pasti kekuatan, kelemahan, potensi serta peluang di kawasan Ayer Kuning.

Ini kerana katanya, langkah tersebut penting untuk memastikan pembangunan yang dirancang adalah berdasarkan data dan statistik yang tepat.

“Kita tidak boleh hanya bercakap soal ekonomi tanpa mengetahui realiti di lapangan. Kita perlu tahu apakah industri utama di kawasan ini, apakah keperluan pasaran, dan bagaimana kita boleh menghubungkan produk tempatan dengan pembeli di sekitar Tapah dan kawasan sekitarnya,” jelasnya.

Beliau juga menekankan pentingnya memilih wakil rakyat yang mewakili parti kerajaan, sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan, bagi memastikan segala perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Menurutnya, calon pembangkang tidak mempunyai keupayaan untuk mengubah struktur kerajaan negeri mahupun mendapatkan peruntukan dengan mudah, berbeza dengan calon kerajaan yang mempunyai akses terus kepada kepimpinan tertinggi termasuk menteri besar dan Perdana Menteri.

“Saya yakin rakyat Ayer Kuning cukup bijak untuk membuat keputusan. Walau ada pelbagai bisikan dan godaan politik, namun tentunya mereka tahu siapa yang benar-benar boleh membawa suara mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya lagi.

Abdul Rahman juga menganggap bahawa manifesto Dr. Ustaz Yusri bukan sahaja boleh dilaksanakan, malah diyakini akan menjadi kenyataan sekiranya beliau diberi mandat dan terus berkhidmat dalam kerajaan.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas, dengan Dr Ustaz Yusri ditentang oleh calon Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini, 26 April manakala pengundian awal berlangsung pada 22 April lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit