Lebih Afdal Tangguh Kemenangan Pas, Bukan Ibadah Haji Atau Umrah – Dr Puad
KUALA LUMPUR, 23 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyarankan agar rakyat mempertimbangkan untuk ‘menangguhkan kemenangan Pas’ dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, bukannya menangguhkan ibadah haji atau umrah.
Menurut beliau, kemenangan Pas tidak semestinya menjamin kemenangan Islam, apatah lagi jika hanya melibatkan satu kerusi di peringkat negeri.
“Menangguhkan kemenangan Pas bukan bermakna menangguhkan kemenangan Islam. Pengundi tidak perlu menangguhkan ibadah haji dan umrah mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Puad juga mempersoalkan keberkesanan pentadbiran Pas di negeri-negeri yang telah lama diperintah parti itu seperti Kelantan dan Terengganu.
“Pas pun tidak membuktikan apa-apa bila berkuasa. Apa kejayaan Pas?” soalnya sambil menyifatkan kemenangan parti itu hanya akan membuka ruang kepada politik kebencian berasaskan agama.
Beliau turut mengkritik penggunaan ayat-ayat al-Quran dan hadis secara sewenang-wenangnya untuk meraih sokongan politik, termasuk penyebaran fatwa politik yang mengelirukan.
“Lebih baik menangguhkan kemenangan Pas. Ini bermakna menyekat politik kebencian agama dan manipulasi agama dalam politik,” tambahnya.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ceramah mega pada PRK Ayer Kuning, Sabtu lepas dilaporkan berkata, masyarakat Islam di negara ini perlu mengutamakan kemenangan politik termasuk menangguhkan hasrat menunaikan ibadah umrah dan haji.
Dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru semua pihak agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hal-hal berkaitan agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini. – UMNO Online