PRK Ayer Kuning : Strategi Simpati Pihak Lawan Paling ‘Low Quality’ – Rahman Dahlan

TAPAH, 23 April — Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan strategi pihak lawan dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning sebagai strategi yang paling ‘low quality’ dan tidak memberi keyakinan kepada rakyat.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu penduduk bahawa di DUN itu belum pernah merasai pengalaman ditadbir oleh calon Pas yang mewakili PN memandangkan ia kawasan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi.

Bidas Abdul Rahman, percubaan untuk menawarkan perubahan politik melalui pihak lawan telah pun berlaku di negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan, dan Terengganu, namun ia tidak membawa sebarang pembaharuan yang signifikan.

“Kalau itulah strategi pihak lawan, saya rasa inilah strategi paling ‘low quality’. Mereka pernah diberi peluang, tetapi tidak ada satu pembaharuan mendadak yang boleh kita katakan sebagai ‘wow factor’,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama UMNO Online.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Ayer Kuning tidak perlu mengambil risiko terhadap masa depan mereka dengan mencuba pihak lawan yang telah terbukti gagal membawa pembangunan dan menaikkan kehidupan rakyat di negeri-negeri lain.

“Kita dah ‘test’ mereka dan terbukti mereka tidak mampu untuk membawa pembangunan atau perancangan yang jelas untuk negeri dan negara.. maka tidak perlu diubah di sini,” tegas beliau lagi.

Abdul Rahman, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran, yakin bahawa rakyat Ayer Kuning akan terus memberi sokongan padu kepada calon kerajaan, khususnya daripada UMNO dan BN.

“Saya rasa, insya-Allah, kita akan menang di sini. Mungkin dari segi majoriti perlu lebih meyakinkan supaya kita dapat momentum untuk melangkah ke depan. Tapi saya tidak menyangkakan Ayer Kuning ini akan memberi keputusan yang tidak logik dengan memilih mereka,” ujarnya.

Beliau turut menggesa seluruh jentera UMNO, BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk terus turun padang bagi memberi penjelasan kepada rakyat dan memastikan kemenangan yang lebih besar dalam PRK ini.

PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir ditentang calon Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini, manakala pengundian awal berlangsung semalam. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit