Puteri UMNO Kedah Fokus Dekati Wanita Muda, Sampaikan Aspirasi Ustaz Dr Yusri

TAPAH, 23 April – Puteri UMNO Kedah fokus menyantuni pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada kempen saat akhir sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) ini khususnya kelompok wanita muda dalam memperkenal dan menyampaikan aspirasi calon Barisan Nasional (BN) Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir.

Ketuanya, Nuraini Yusof berkata pelbagai pendekatan dilakukan mereka namun fokus kepada pertemuan bersemuka.

“UMNO Kedah ditugaskan menjaga dua Pusat Daerah Mengundi iaitu Sungai Lesong dan Kampong Sungai Kurong jadi penting jugalah untuk kita mengadakan banyak program di sini untuk mendekati ramai pengundi khususnya Puteri untuk wanita muda.

“Namun kita fokus untuk berkunjung ke rumah-rumah dan sebagainya berbanding dengan program-program besar.

“Kerana kita tidak akan adakan program yang terlalu besar lebih kepada dua hala jumpa ke rumah, berjumpa sendiri dengan wanita muda dan juga di tempat-tempat tumpuan ramai untuk memperkenalkan calon kita insya-Allah,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu turut reaksi yang diterima daripada wanita muda juga memberansangkan apabila mereka turut sama menyertai kempen yang dilakukan pihaknya.

“Macam hari ni sejak selesai penamaan calon kita tengok ramai wanita muda keluar melalui program yang diadakan oleh itu kita manfaatkannya untuk santuni mereka.

“Jadi untuk kempen seterusnya kita rancang untuk mengadakan banyak program untuk dekati seramai mungkin pengundi. Namun kita cuba kekalkan dengan ziarah kasih dan juga nak mendekati dengan lebih santai.

“Kami tak nampak sebarang komen negatif. Alhamdulillah, penerimaannya sepanjang saya berada di sini sambil berbual dengan para peniaga-peniaga kebanyakannya memberikan respon yang positif. Alhamdulillah. Kita harap reaksi positif daripada pengundi ini, kita bawa sampai 26 bulan,” ujar beliau.

Untuk rekod calon yang diketengahkan BN, Dr Ustaz Yusri Bakir berdepan dengan dua saingan antaranya daripada Perikatan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia.

Dr Ustaz Yusri, 54 tahun yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah pertama kali bertanding pada pilihan raya ini, beliau adalah bekas pensyarah di IPG Kampus Ipoh yang mula berkhidmat pada 2007.

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit