PRK: Kita Nak Jual Calon… Jangan Amal Kempen ‘Bantai’ Pihak Lawan – Johari
TAPAH, 22 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyeru para jentera Barisan Nasional (BN) untuk mengamalkan kempen secara sederhana pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, beliau dapat melihat kerjasama yang ditonjolkan para jentera dari BN dan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan amat baik sekali.
“Saya tengok, kempen setakat hari ini berjalan begitu baik dan jentera-jentera BN termasuk daripada parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan juga sama-sama turun untuk membantu. Saya beritahu kepada jentera, kita (BN) ini kita kena berbeza sikit daripada orang lain… kita tidak mahu kempen ini kita ‘bantai’ orang. Kita nak jual calon kita.
“Saya beritahu kepada jentera-jentera bahawa kalau kita nak menang, sama ada di PRK, atau DUN atau peringkat pusat sekalipun, paling penting kita kena ada tiga perkara. Pertama, kalau rasa parti kita ada kelemahan, kita baik pulih semula. Kemudian, kita kena ada calon yang berwibawa. Calon yang punya trek rekod dan boleh meluangkan masa dengan masyarakat. Akhir sekali, kita mesti ada jentera yang dapat bekerja sebagai satu pasukan.
“Tidak ada sabotaj di antara mereka. Kalau kita ada konsep ini… parti bagus, calon baik dan jentera yang bersatu padu, selalunya agak sukar untuk kita kalah. Jadi kita minta mereka teruskan kerja-kerja ini sampai 26 April,” katanya ketika ditemui sejurus selepas perjumpaan bersama jentera BN di pusat daerah mengundi (PDM) Kampung Rahmat sebentar tadi.
Ujarnya, beliau yakin bahawa rakyat dapat melihat keberkesanan pentadbiran kerajaan sedia ada yang memberikan tumpuan kepada kestabilan dan perkembangan ekonomi.
“Kalau tengok sejarah, DUN Ayer Kuning ini tak pernah kalah walaupun dalam keadaan tsunami yang begitu teruk. Walaupun kita tidak dapat (kemenangan) dari kawasan Kampung Coldstream, dengan penglibatan MCA dan Dap bersama-sama… kawasan tersebut ada 1,700 pengundi cuma empat orang pengundi Melayu.
“Saya cukup yakin bahawa mereka akan melihat keberkesanan parti yang memimpin negara hari ini yang lebih menumpukan kepada kestabilan. Kita tidak mahu ada banyak pertukaran (kerajaan) dalam satu penggal. Ia akan mengganggu perkembangan ekonomi khususnya apabila kita melihat dunia sekarang ini penuh cabaran dan kita tak mampu ada pergolakan politik. Tunggulah sampai 2027.
“BN mempunyai trek rekod. 60 tahun kita bangunkan negara ini, konsep kita ‘is all about’ masyarakat majmuk. ‘Along the way’, ramai pemimpin… saya pun kadang-kadang ada juga buat silap. Mungkin ada benda-benda yang kita terlepas pandang. Saya pun pernah kalah dulu masa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. PRU ke-13 saya menang, PRU ke-14 kalah. PRU ke-15 menang balik. Sebab kiitu kita perlu sentiasa berubah. Masyarakat akan melihat kita sama ada kita pura-pura atau tidak. Kalau kita betul-betul ‘genuine’, mengaku kesilapan dan kita nak mengubah cara melayan masyarakat, maka rakyat akan bagi balik (kemenangan),” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau mempunyai keyakinan bahawa rakyat di DUN Ayer Kuning akan memberikan undi kepada calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir berdasarkan kepada trek rekod pemimpin-pemimpin terdahulu yang tidak pernah mengecewakan mereka.
“Dalam pilihan raya ni, kita hanya boleh ‘predict’, tapi akhirnya ia bergantung kepada setiap kawasan. Jadi di Ayer Kuning ini kalau lihat trek rekod, kita nampak bahawa penjagaan daripada wakil-wakil rakyat sebelum ini tidak mengecewakan. Jadi, datang tsunami apa pun rakyat mengenangkan jasa yang pemimpin khususnya daripada BN berikan.
“Saya tengok calon kita (BN) pun bagus. Mempunyai kelulusan yang bagus dan ada pengalaman berinteraksi dengan masyarakat. Beliau bekerja begitu rapat dengan allahyarham Ishsam ini. Jadi, saya percaya bahawa rakyat akan bagi undi. Jadi kalau nak tahu kita boleh dapat majoriti berapa banyak, saya tak nak cerita. Saya cuma nak menang,” katanya lagi.
BN telah mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri Bakir sebagai calon di PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.
Pertandingan tiga penjuru tersebut telah menyaksikan beliau berentap dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Sosialis Malaysia.
Dr Ustaz Yusri Bakir merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman