PRK: Khidmat Bakti Mantan ADUN Dalam Ingatan Orang Ayer Kuning
TAPAH, 22 April – Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman menyifatkan faktor jasa dan khidmat bakti mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin memainkan peranan kepada sokongan rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang ketika ini mengharungi kempen minggu kedua.
Beliau berkata ini kerana ramai dalam kalangan rakyat yang masih mengingati perkhidmatan terbaik diberikan Allahyarham Ishsam kepada penduduk dan pembangunan kawasan.
“Sudah pasti Allahyarham Ishsam adalah seorang yang cukup rajin bekerja, prihatin dan juga cukup aktif dalam mendekati masyarakat.
“Saya mendapat respon yang begitu baik daripada para pengundi tak kira orang Melayu, Cina, India ataupun Orang Asli beliau begitu disayangi malah mereka menangisi pemergian beliau.
“Walaupun dalam tempoh masa yang singkat iaitu hampir tiga tahun menjadi wakil rakyat Ayer Kuning ini tetapi kerja buat beliau memang nampak dirasai oleh para pengundi dan juga masyarakat yang ada di Tapah dan juga Ayer Kuning,” katanya ketika ditemui UMNO Online usai kempen menziarahi Orang Asli di RKT Sungai Kroh baru-baru ini.
Maslin Sham dalam pada itu berkata prestasi cemerlang kerajaan negeri Perak juga mempengaruhi sokongan rakyat pada PRK ini.
Katanya ini kerana pentadbiran Menteri Besar, Datuk Mohamad Saarani telah membawa negeri ini ke peringkat baharu negeri Perak yang menfokuskan kepada Perak Sejahtera 2030.
“PRK Ayer Kuning berjalan dengan begitu baik dan sambutan daripada para pengundi nampak begitu condong ke arah memberi kemenangan kepada BN.
“Ini juga berkait rapat dengan kepimpinan Menteri Besar yang begitu proaktif secara jelas telah meletakkan hala tuju yang begitu baik menyebabkan rakyat memberi kepercayaan dan dorongan untuk terus menyokong BN dan juga Kerajaan Perpaduan.
“Khidmat bakti dilakukan UMNO Bahagian Tapah, wakil-wakil rakyat yang terlibat dalam Parlimen Tapah termasuklah Chenderiang dan Ayer Kuning ini begitu rapat dengan masyarakat. Kita yakin apa yang telah dibuat itu membawa kesan terus untuk diterjemahkan sebagai undi dalam PRK ini,” ujar beliau.
Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri berdepan tiga penjuru iaitu dengan wakil Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online