Perang Saraf Terdesak Tidak Gugat Semangat Jentera Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 22 April – Wanita UMNO Malaysia mengambil maklum tindakan seorang bekas pemimpin Wanita UMNO negeri yang mengumumkan penyertaan ke dalam parti Pas ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sedang giat dijalankan.

“Wanita UMNO berpandangan bahawa tindakan ini merupakan sebahagian daripada strategi perang saraf terdesak oleh pihak lawan, yang semakin buntu mencari sokongan pengundi, juga bertujuan menggugat moral kalangan jentera Barisan Nasional (BN), khususnya Wanita UMNO,” ujar Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Rosni Zahari dalam satu kenyataan kepada UMNO Online di sini hari ini.

Tegas Rosni lagi, tindakan tersebut tidak sedikit pun melemahkan semangat Wanita UMNO terutama dalam berhadapan kempen PRK tersebut.

“Sebaliknya, ia telah menyuntik semangat baharu dan memperkukuhkan iltizam jentera Wanita UMNO untuk terus bekerja lebih gigih demi memastikan kemenangan calon BN.

“Jentera Wanita, khususnya pasukan Jalinan Rakyat (JR), terbukti amat berkesan dan menjadi kekuatan utama yang menggugat pihak lawan,” katanya.

Tambah Rosni lagi, dengan gerak kerja yang tersusun, kehadiran kukuh di akar umbi serta pendekatan mesra rakyat, pasukan JR terus mendapat sambutan positif dan membina keyakinan dalam kalangan pengundi, terutamanya wanita.

Justeru katanya, Wanita UMNO yakin bahawa pengundi DUN Ayer Kuning akan terus memberi kepercayaan dan mandat kepada calon BN Dr Ustaz Yusri Bakir demi kestabilan dan kemakmuran berterusan di peringkat negeri dan nasional. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit