Undi Awal PRK Ayer Kuning: Dr Ustaz Yusri Seru Pilih Calon BN
TAPAH, 21 April – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Ustaz Yusri Bakir menyeru para pengundi yang akan mengundi awal pada 22 April untuk memilih calon Barisan Nasional (BN).
Ini kerana katanya, undi awal tersebut penting dalam menentukan siapa yang bakal mentadbir kawasan DUN Ayer Kuning selepas pilihan raya berlangsung.
“Alhamdulilah kempen hari ini berjalan dengan begitu baik sekali. Pagi tadi saya telah mengadakan ‘walkabout’ bersama masyarakat Cina. Kemudian saya terus pergi ke majlis-majlis bersama dengan masyarakat.
“Kemudian saya berada di pusat daerah mengundi (PDM) Tanjong Keramat bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebelum meneruskan lagi kempen selepas ini.
“Kepada pengundi awal saya berharap agar mereka akan keluar mengundi untuk menunaikan tanggungjawab. Pastinya kita mengharapkan mereka akan berusaha untuk mengekalkan dan memberikan undi kepada Kerajaan Madani yang ada pada hari ini melalui calon dipertandingkan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
BN telah mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri Bakir sebagai calon di PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.
Pertandingan tiga penjuru tersebut telah menyaksikan beliau berentap dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Sosialis Malaysia.
Dr Ustaz Yusri Bakir merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online