Manifesto Calon BN Realistik, Mampu Dilaksana Untuk Kesejahteraan Ayer Kuning
TAPAH, 21 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan manifesto calon Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Yusri Bakir seperti diumumkan semalam sebagai realistik.
Menurut beliau ini kerana manifesto tersebut merupakan komitmen yang mampu untuk direalisasikan apatah lagi sebagai wakil rakyat yang mewakili kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Saya yakin perkara yang disebut dalam menifesto calon BN mampu untuk dilaksanakan apatah lagi kerajaan ini kerajaan negeri dan juga Persekutuan diterajui oleh gabungan parti yang BN ada dalamnya.
“Malah di peringkat negeri, diketuai oleh Pengerusi Perhubungan BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad jadi ia betul-betul berbeza. Kalau ada menifesto daripada pembangkang yang saya yakin retorik, ia tidak mampu untuk dilaksanakan.
“Jadi apa yang disebut oleh calon BNitu realistik, yang mampu dilaksanakan ia juga membuktikan bahawa walaupun latar belakang calon kita adalah seorang ustaz, tapi ia kekal menghormati kaum-kaum lain yang meletakkan perpaduan sebagai asas pada usaha dia untuk membangunkan kawasan ini,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut sama mengulas tiga tekad yang menjadi asas kepada keseluruhan usaha ini antaranya menjamin perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Ayer Kuning serta menolak sebarang sentimen perkauman dan politik kebencian yang memecahbelahkan rakyat.
“Itulah sebenarnya yang penting kepada rakyat ditekankan oleh calon BN dalam menifestonya untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu harmoni.
“Kerana ini faktor penting kepada usaha kita untuk membangunkan kawasan Ayer Kuning ini,” ujar beliau.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa memasuki minggu kedua kempen PRK gerak kerja secara tersusun dan berterusan dilakukan bagi mendekati sebanyak mungkin calon menjelang hari pembuangan undi pada Sabtu ini.
“Kita lihat jentera parti baik pusat, negeri dan bahagian berjalan dengan baik dan tersusun malah dengan jelas pengerusi perhubungan negeri menyusun strategi untuk pastikan kita mencapai sasaran yang diletakkan iaitu 18,000 undi maknanya jentera kita berjalan dengan susun dan baik dan begitu juga dalam aspek selain.
“Namun demikian, kita tidak boleh rasa selesa dan leka kerana kita sedar bahawa dalam tempoh lima hari ini apa-apa boleh berlaku dan sudah nampak jelas bahawa pembangkang PN sudah semakin agresif menimbulkan pelbagai isu dan perkara malah sampai menyentuh isu-isu peribadi dan sebagainya.
“Sebagaimana dinasihat oleh pengerusi perhubungan kita mesti konsisten dan kekal melaksanakan kempen dengan tertib, susun, berhemah dan fokus mengeluarkan semaksima mungkin pengundi kita,” ujar beliau.
Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri pada PRK ini berdepan tiga penjuru iaitu dengan wakil Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online