PRK Ayer Kuning: Pilih BN, Parti Yang Sentiasa Membela Rakyat – Pandak
TAPAH, 22 April – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad menyeru rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning untuk memilih parti yang sentiasa membela rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar berharap agar jentera bekerja dengan lebih keras dalam tempoh berkempen yang berbaki beberapa hari sahaja lagi.
“Alhamdulilah saya telah bersama dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam program ‘town hall’, bersantai dengan anak-anak muda dalam kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Changkat Petai dan Tanjung Keramat.
“Kita nampak suasana kempen dah hampir menuju ke penghujung. Kita harap jentera-jentera dapat menguatkan lagi kempen mereka rumah ke rumah tidak mengira orang muda dan lama kerana yang penting kita nak memastikan bahawa calon Barisan Nasional (BN), Ustaz Yusri Bakir mencapai kemenangan pada 26 April ini.
“Inilah momentum yang digerakkan. Ia meliputi semua… dari segi Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO serta dibantu oleh keluarga angkat. Macam kami dari Negeri Johor ini adalah sebagai keluarga angkat kedua-dua PDM ini,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO/BN sentiasa mengutamakan keselesaan, keterjaminan dan kestabilan kerana ia telah menjadi tradisi sejak dari dulu lagi.
“PDM ini kalah tetapi bukanlah teruk sangat. Kita nak mengubah keputusan yang ada kepada yang lebih baik.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pengundi, pilihlah parti yang boleh membela rakyat. Sebagai contoh, UMNO/BN daripada dulu memang tradisi dan ‘trademark’ parti adalah membela rakyat.
“Dalam apa jua suasana seperti ribut atau malapetaka… UMNO/BN yang akan membantu rakyat. Jadi, kena fikir-fikirkan. Pilihlah parti yang akan memastikan keselesaan, keterjaminan, kestabilan… mendapat tempat di hati pengundi-pengundi di kawasan Ayer Kuning ini,” katanya lagi.
BN telah mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri Bakir sebagai calon di PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.
Pertandingan tiga penjuru tersebut telah menyaksikan beliau berentap dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Sosialis Malaysia.
Dr Ustaz Yusri Bakir merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman