PRK: Pemuda Kedah Konsisten Laksana Gerak Kerja, Fokus Anak Muda
TAPAH, 21 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Mohd Raqib Abu Hassan memaklumkan pihaknya konsisten dalam melaksana gerak kerja bagi membantu jentera tempatan sepanjang tempoh kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Beliau berkata ia digerakkan oleh jentera daripada Kedah termasuk dalam kalangan Pemuda.
“Pemuda UMNO Kedah terlibat daripada awal lagi kami lakukan secara berganti-gantilah daripada pelbagai bahagian.
“Fokus adalah untuk mendekati orang muda sebab petugas di sini banyak ziarah kasih dan kami lebih kepada aktiviti bersama anak muda seperti anjuran tengok wayang malam bersama filem Blood Brothers.
“Ada juga aktiviti sukan seperti sepakan penalti untuk kelompok yang sama malah pagi tadi juga dianjurkan sepak takraw,” katanya.
Mohd Raqib berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas melakukan ziarah kasih ke beberapa rumah di Kampung SMTD Sungai Kurong, semalam, turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Serai dalam pada itu berharap golongan muda untuk rasional pada PRK ini dengan memilih calon BN bagi meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan ini.
Katanya lagi, menjengah ke minggu kedua kempen ini rakyat juga dinasihat untuk menyemak sebarang maklumat diperolehi mereka kerana dibimbangi ia anasir dibawa oleh pembangkang.
“Untuk orang muda di PRK Ayer Kuning ini, jangan emosi membuat pilihan.
“Kalau datang berita apa-apa pun, kaji dahulu. Sekiranya peroleh maklumat melalui melalui media sosial kaji dulu dan fikir elak undi dalam keadaan emosi.
“Kita kena lihat balik kerajaan mana yang mampu untuk membantu rakyat di negeri Perak ni dan sudah tentunya BN,” ujar beliau.
Untuk rekod BN pada kali ini mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri, beliau berdepan saingan tiga penjuru iaitu dengan wakil Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Dr Ustaz Yusri, 54 tahun yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah pertama kali bertanding pada pilihan raya ini, beliau adalah bekas pensyarah di IPG Kampus Ipoh yang telah berkhidmat sejak 2007.
Merupakan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah, beliau mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online