Ahmad Maslan Yakin Calon BN Mampu Beri Khidmat Seperti Allahyarham Ishsam
TAPAH, 21 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yakin bahawa calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mampu memberikan perkhidmatan terbaik seperti Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Ini kerana katanya, sepanjang tempoh berkempen beliau mendengar banyak cerita baik tentang Allahyarham Ishsam mengenai kegigihan dan kesungguhan beliau melaksanakan tugas yang diamanahkan ketika menjawat jawatan tersebut.
“Kami baru sahaja selesai bacaan yasin di rumah ibu dan ayah Allahyarham Ishsam. Ke mana-mana saya pergi sepanjang 14 kali turun ke Ayer Kuning ini, banyak cerita baik yang disampaikan mengenai aktiviti dan kegigihan kesungguhan beliau sepanjang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan ini.
“Jadi, dalam fikiran saya, Dr Ustaz Yusri Bakir, Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, selalu mengikut ke mana arwah pergi. Oleh itu, sudah tentulah dari segi sudut latihan sebagai wakil rakyat, beliau sudah terlatih kerana sentiasa mengikut Ketua Bahagiannya yang juga ADUN Ayer Kuning.
“Pada pandangan saya, pemilihan Dr Ustaz Yusri Bakir adalah sesuai. Beliau telah diajar bagaimana untuk menjadi seorang wakil rakyat yang baik dan gigih. Saya ada keyakinan bahawa calon BN ini akan mengikuti jejak langkah Allahyarham Ishsam. Itu satu perkara yang saya ingin kongsikan,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut menyeru para jentera untuk memperbaiki strategi ‘psy-war’ dalam tempoh berkempen yang berbaki lebih kurang lima hari lagi.
“Seperkara lagi, dalam pecutan lima ke enam hari yang terakhir ini… saya ingin menyeru agar kita pergi ke semua rumah yang boleh kita pergi. Jentera bahagian angkat dalam negeri Perak dan jentera negeri angkat daripada seluruh negara, pergilah bertemu seramai mungkin pengundi.
“Berkunjung, ziarah-menziarah… ziarah kasih, ziarah mesra, seperti yang saya lakukan sekarang ini. Dalam masa yang sama, para jentera juga perlu terus memperbaiki ‘psy-war’ atau perang psikologi. Bendera, poster, perlu lebih banyak dan tinggi serta terserlah daripada parti lawan.
“Perang poster juga mesti diambil bahagian oleh semua yang berkelapangan dalam jentera pilihan raya dari PDM (Pusat Daerah Mengundi) yang ada,” katanya lagi.
Terdahulu, Ahmad Maslan telah bersama-sama Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam majlis bacaan yasin yang diadakan di kediaman keluarga allahyarham Ishsam Shahruddin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Rahmat.
BN telah mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri Bakir sebagai calon di PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.
Pertandingan tiga penjuru tersebut telah menyaksikan beliau berentap dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Sosialis Malaysia.
Dr Ustaz Yusri Bakir merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman