‘Ayer Kuning Sejahtera’ Manifesto BN Untuk Keselesaan Rakyat Setempat – Dr Ustaz Yusri

TAPAH, 20 April – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Ustaz Yusri Bakir hari ini membentangkan manifestonya yang bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera.’

Beliau memaklumkan bahawa manifesto ini lahir daripada cetusan harapan masyarakat setempat hasil daripada mendengar sendiri cerita, luahan dan aspirasi yang dizahirkan oleh penduduk Ayer Kuning.

Katanya ia juga disusun dengan teliti berdasarkan pengamatan di lapangan.

“Manifesto ini bukan sekadar tawaran politik, tetapi ikrar, tanggungjawab, dan komitmen saya untuk turun padang, memberikan sebaik-baik perkhidmatan, mendengar suara rakyat, dan bekerja sedaya upaya demi memastikan setiap perkara yang dinyatakan dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Insya-Allah, jika diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya akan pastikan visi ‘Ayer Kuning Sejahtera Bersama’ diterjemahkan menjadi kenyataan.

“Saya mohon sokongan dan kepercayaan seluruh pengundi Ayer Kuning untuk sama-sama menjayakannya,” katanya ketika sidang media mengumumkan manifesto BN bagi PRK ini yang berlangsung di Pusat Operasi BN, di sini, hari ini.

Beliau juga memaklumkan telah melaksanakan kempen dengan menyantuni masyarakat pelbagai bangsa dan melibatkan semua lapisan.

“Kita telah melaksanakan kempen secara keseluruhan melibatkan semua peringkat dan alhamdulillah sambutan baik. Saya harap komitmen ini dapat diteruskan dan pada 26hb nanti mereka dapat berikan undi kepada BN,” katanya.
Katanya, manifesto ini akan dibawa dalam kempen yang masih berbaki seminggu sebelum pengundian dilaksana Sabtu depan.

“Kita akan perjelaskan dengan mendalam tawaran yang kira buat dan saya kira ia akan dapat diterima dengan baik oleh masyakat di DUN Ayer Kuning ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit