PRK: Pemuda UMNO Terus Santuni Pengundi, Orang Muda
TAPAH, 20 April – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang memperlihatkan komitmen mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dengan gerak kerja sebaiknya dilakukan bagi memastikan kerusi tradisi UMNO/Barisan Nasional (BN) ini kekal dalam penguasaan.
Ketuanya Mohd Hilmi Elias berkata jentera pemuda digerakkan ke Tapah sebelum tempoh berkempen sebagai persediaan awal dan secara sepenuh masa di sini.
“Alhamdulillah, Pemuda Pulau Pinang telah turun sebelum penamaan calon lagi. Ketika ini petugas sepenuh masa kami diletakkan di Pusat Daerah Mengundi Banir dan Banir Utara sepanjang tempoh dua minggu berkempen ini.
“Malah beberapa program bersama masyarakat setempat juga telah berjalan dengan baik. Kempen dari rumah ke rumah bersama Wanita dan Puteri juga berjalan seperti biasa,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh dalam pada itu menyifatkan penerimaan anak muda terhadap calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir juga positif.
Mohd Hilmi dalam pada itu turut berkata gerak kerja mendekati kelompok itu pada ketika ini dilaksana secara menyeluruh dalam menyampaikan aspirasi parti.
“Respon pengundi muda nampak ada perubahan yang baik. Rata-rata boleh menerima calon yang diketengahkan.
“Walaubagaimanapun, kita tidak mahu terlampau selesa. Kerana undi orang muda ini ianya boleh berubah dari hari ke hari. Orang muda ini sifatnya sentiasa berubah. Itu biasa.
“Jadi kita harus terus kuatkan kerja dan terus meraih undi bagi memastikan calon BN mendapat kemenangan yang selesa,” ujar beliau.
Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri berdepan tiga penjuru iaitu dengan wakil Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Dr Ustaz Yusri, 54 tahun yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah pertama kali bertanding pada pilihan raya ini, beliau adalah bekas pensyarah di IPG Kampus Ipoh yang telah berkhidmat sejak 2007.
Merupakan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah, beliau mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online