Ahmad Maslan Pesan Manfaatkan Kempen, Dekati Sebanyak Mungkin Pengundi

TAPAH, 17 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dimanfaatkan sebaiknya bagi mendekati sebanyak mungkin pengundi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata ia penting bagi memastikan pengundi mendapat maklumat sebaiknya membabitkan calon yang diketengah Barisan Nasional (BN).

“Saya berharap agar aktiviti dibanyakkan antaranya ziarah kasih untuk orang sakit manakala ziarah mesra iaitu menziarahi rumah orang-orang yang banyak pengaruh.

“Pergi ke rumah mereka yang banyak pengaruh kerana ramai pengundi di dalam tangan mereka. Bila mereka menyebut undi calon BN maka ramai yang akan mengikut cakap itu,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian ketika ramah mesra dan ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Lesong.

Mengulas lanjut beliau berkata, rakyat di DUN Ayer Kuning perlu matang dalam membuat pilihan pada hari pembuangan undi kelak.

Katanya ia sebagai penentu kepada masa hadapan rakyat di kawasan ini khususnya melibatkan pembangunan yang turut sama memberikan impak kepada generasi akan datang.

“Kalau kita menyokong calon Perikatan Nasional tempat ini jadi kawasan pembangkang sedangkan kerajaan negeri dan Pusat kita punya.

“Kenapa tiba-tiba kita hendak jadi pembangkang? Tidak ada sebarang manfaat menyokong pembangkang ini. Tapi kalau menyokong calon BN tempat ini kekal dalam kerajaan negeri yang juga boleh dibantu kerajaan Pusat,” ujar beliau.

Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir berdepan dengan dua saingan antaranya daripada Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79