PRK Ayer Kuning: Kekalkan Konsistensi Kemenangan BN Di Beberapa PRK – Mohd Sharkar
TAPAH, 16 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin menyeru seluruh pendukung parti untuk bekerja sekerasnya bagi mengekalkan konsistensi kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ujarnya, cabaran utama yang sedang dihadapi oleh parti ialah untuk memastikan seramai mungkin pengundi keluar mengundi dan memberi mandat kepada BN bagi mengemudi DUN Ayer Kuning.
“UMNO Negeri Pahang diberi tugas untuk membantu Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampong Simpang Tiga. Ini adalah PDM yang di dalamnya mempunyai paling ramai pemilih termasuk pengundi pertama kali. Dahulu, PDM ini menang dengan 600 majoriti maka sudah tentulah cabarannya agak besar.
“Ini kerana pertama sekali, kita tahu bahawa ini adalah PRK. Kedua, kita tahu bahawa para pengundi luar baru saja pulang beraya baru-baru ini, kemudian nak balik semula untuk mengundi. Ketiga adalah untuk mencari pengundi-pengundi pertama kali.
“Ini merupakan PRK keempat untuk UMNO/BN. Kita menang di DUN Nenggiri yang sebelum ini ditunjangi oleh pihak Pas. Kita kekal di Pelangai dan juga Mahkota. Diharapkan semangat kemenangan tersebut dapat kita bawa ke Ayer Kuning ini,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, rakyat di DUN Ayer Kuning perlu mengekalkan BN di kawasan tersebut agar kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat dapat dijalankan sebaiknya.
“Pihak lawan akan berkempen supaya para pengundi tidak keluar pada hari pengundian dengan alasan BN ‘confirm’ menang dan sebagainya. Tapi, kita nak beritahu kepada pengundi bahawa janganlah kita terpengaruh dengan kempen tersebut.
“Kita nak supaya BN kekal di sini. Semasa allahyarham Ishsam Shahruddin menjadi wakil rakyat, masyarakat di sini mendapat keselesaan yang sangat baik. Keselesaan tersebut akan diteruskan sekiranya BN diberikan kemenangan. Insya-Allah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan para jentera dan pendukung parti akan bekerja sehabis baik untuk mencapai sasaran 18,000 majoriti undi pada PRK ini.
“Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mempunyai perkiraan sendiri sebagai ‘chief commander of Perak’. Kita perlu menghormati ekspektasi beliau dan diharapkan semua akan bekerja ke arah itu. Cari jalan, pastikan ramai pengundi balik dan ‘turn out’ bagus.
“Semasa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, hampir 82 peratus ‘turn out’ untuk DUN Ayer Kuning ini. Sebab itulah kalau dicampur 9,000 (undi BN) dan 6,000 (undi Pakatan Harapan), muncul angka 16,000. Kemudian dicampur 3,000 pengundi baharu yang kita sasarkan dapat 2,000 undi… itulah yang dikatakan majoriti 18,000.
“Kita harapkan perkiraan kita ini tepat dan dapat mencapai sasaran ‘turn out’ yang diinginkan. Kita harap supaya 18,000 itu menjadi tanda aras… maksudnya itulah peratus yang kita nak capai pada PRK kali ini,” katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan BN Perak menyasarkan lebih 18,000 undi akan berpihak kepada calon parti itu, Dr Ustaz Yusri Bakir pada PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung pada26 April ini.
Saarani berkata, ia berdasarkan rekod pada PRU ke-15 yang menyaksikan calon BN dan Pakatan Harapan (PH) keseluruhannya memperoleh lebih 15,000 undi daripada pengundi DUN Ayer Kuning.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.
Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh akan berhadapan dengan dua lagi calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman