Dr Ustaz Yusri Punya Perwatakan Rendah Diri, Mudah Didekati Rakyat
TAPAH, 16 April – Ketua Wanita UMNO Bahagian Tapah, Anis Salmi Mansor menyifatkan calon diketengah Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir sebagai berjiwa rakyat dan memahami isu tempatan.
Katanya meskipun Dr Yusri mempunyai kelayakan akademik yang tinggi namun beliau berperwatakan rendah diri dan mudah didekati rakyat.
“Alhamdulillah penerimaan baik sebab calon adalah seorang setiausaha bahagian dan dia seorang yang mesra, boleh terima sesiapa yang berjumpa dengannya, malah keperibadiannya yang rendah diri orangnya membuatkan orang jadi senang dengan dia.
“Mengikut tinjauan yang dibuat walaupun ada yang tak kenal tapi bila kami sebut calon adalah seorang guru agama, ustaz mereka boleh terima insya-Allah,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Mengulas lanjut, Anis Salmi turut sama berkongsi ziarah kasih yang dilakukan pihaknya dengan kerjasama kepimpinan Wanita UMNO Pusat.
Selain itu katanya, program taqarrub juga turut diguna pakai dengan menghimpunkan sekelompok kecil pengundi bagi menyampaikan aspirasi calon dan parti untuk pembangunan berterusan Ayer Kuning.
“Kami laksanakan ziarah kasih berterusan bersama-sama dengan Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad juga Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Salbiah Mohamed dengan berkunjung ke rumah pengundi secara berstrategi rumah.
“Manakala bersama dengan bahagian dan negeri angkat kami melaksanakan program ini takarub iaitu ke rumah penduduk yang disegani dengan melaksananakan bacaan Yasin serta ceramah pendek,” ujar beliau.
Terdahulu calon BN, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir berdepan dengan dua saingan antaranya daripada Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
Dr Ustaz Yusri, 54 tahun yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah pertama kali bertanding pada pilihan raya ini, beliau adalah pensyarah di IPG Kampus Ipoh pada 2007 dan berkhidmat di sana sehingga sekarang.
Merupakan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah, beliau mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online