Isu Poster: PN Terbukti Tidak Ada Pendekatan, Matlamat Jelas – Mohamed Khaled

TAPAH, 15 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Perikatan Nasional (PN) jelas terbukti tidak ada pendekatan dan matlamat yang jelas apabila menggunakan gambar penyokong Barisan Nasional (BN) sebagai poster untuk meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, UMNO/BN termasuk rakan-rakan parti komponen dan Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha keras untuk memenangkan calon yang dipertaruhkan.

“Kita berada di pusat daerah mengundi (PDM) Tanjung Keramat pada hari yang ketiga berkempen sempena PRK DUN Ayer Kuning. BN telah meletakkan calon maka kami bersama rakan-rakan parti komponen termasuk PH, sedang berusaha keras bersama-sama untuk memastikan para pengundi menyokong kita.

“Jadi pada peringkat awal ini, memang tumpuan diberikan kepada gerak kerja supaya ia dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar. Ini termasuklah semua memahami matlamat, isu-isu dan pelbagai cabaran yang ada.

“Saya berkesempatan untuk mendengar taklimat daripada penyelaras PDM di sini yang kebetulan negeri angkatnya adalah Johor dan bahagian angkatnya adalah Pasir Salak serta Beruas, bersama-sama dengan jentera tempatan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, seluruh jentera telah bergerak sebagai satu pasukan untuk menyusun segala gerak kerja demi memastikan rakyat di DUN Ayer Kuning mencurahkan sokongan kepada calon BN.

“Alhamdulilah, saya melihat semua bergerak sebagai satu pasukan. Kedua, semua jentera juga telah Menyusun segala usaha-usaha mengenai bagaimana nak memastikan calon BN mendapat sokongan daripada rakyat.

“Saya percaya bahawa segala gerak kerja telah disusun dan akan berjalan dengan lancar sepanjang tempoh berkempen. Jadi, saya rasa tiada sebarang masalah dihadapi mengenai gerak kerja ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat di DUN Ayer Kuning untuk tidak terpedaya dengan segala dakyah yang dibawa oleh PN sepanjang tempoh berkempen kerana telah terbukti mereka ketandusan isu dalam memperdaya rakyat pada PRK kali ini.

“Isu poster ini… ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kita kerana itulah PN yang sebenarnya. Mereka tidak ada isu, pendekatan dan matlamat untuk kawasan DUN Ayer Kuning ini. Jadi, atas sebab itulah, kita berharap agar para pengundi tidak terpedaya dengan mereka ini.

“Saya percaya bahawa jentera BN terutamanya UMNO memahami bahawa kita ini adalah sebuah parti perjuangan. Kita ini masih lagi dalam proses untuk memastikan supaya sokongan, terutamanya orang Melayu, kembali kepada UMNO.

“UMNO memerlukan sokongan supaya dapat terus menjadi parti sandaran orang Melayu dan UMNO dapat terus memainkan peranannya untuk membela serta melindungi kedudukan orang Melayu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa keberadaan UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan adalah untuk meneruskan perjuangan membela nasib orang Melayu tanpa mengenepikan kaum-kaum lain.

“Walaupun UMNO/BN berada dalam Kerajaan Perpaduan… tetapi, semua perlu faham dan tahu bahawa UMNO ini adalah parti mewakili orang Melayu. Keberadaan dalam Kerajaan Perpaduan juga bukanlah bermakna kami perlu mengenepikan perjuangan yang dibawa selama ini.

“Malah, kita memerlukan rakyat untuk faham, terus beri sokongan kepada BN supaya ini menjadi asas kepada UMNO untuk bergerak dengan lebih kuat dan membela kedudukan orang Melayu tanpa mengenepikan kedudukan kaum-kaum lain yang terdapat di negara ini,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan calon PN telah menggunakan gambar pemimpin UMNO/BN tempatan sebagai bahan kempen mereka tanpa sebarang kebenaran.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Temoh, isteri kepada pemimpin tersebut berkata suaminya memegang jawatan dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Temoh Stesen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.

Ia membabitkan calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Ustaz Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, 54.

Beliau akan berdepan saingan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit