Bekas Pelajar Jumpa Dr Ustaz Yusri, Imbau Kenangan Zaman Sekolah

TAPAH, 14 April – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN), Ustaz Dr Mohamad Yusri Bakir berkongsi keterujaan rata-rata bekas pelajarnya bertemu ketika sesi kempennya.

Meskipun kini sudah tidak lagi menjadi guru, beliau menyifatkan bekas pelajar yang ditemuinya kekal mesra sebagai tanda ingatan kepada kenangan di zaman persekolahan suatu ketika dahulu.

“Anda nampak tadi mereka cium tangan saya maknanya kita punya hubungan itu kekal ada sebagai bekas pelajar saya.

“Mereka itu saya mengajar semasa sekolah rendah,” katanya ketika ditemui media usai walkabout di Pasar Awam Tapah Road.

Dr Ustaz Yusri yang kini merupakan pensyarah di IPG Kampus Ipoh dalam pada itu berharap dengan sokongan daripada mereka bagi membantu mengekalkan penguasaan BN di kawasan ini.

Mengulas lanjut berkenaan kempen beliau hari ini, Dr Ustaz Yusri memaklumkan gerak kerja seperi kebiasaan menyantuni di pasar pagi bagi menemui peniaga dan para pengunjung.

Untuk pagi ini beliau ke Pekan Tapah Road dan Pasar Awam Tapah Road.

“Selepas solat Subuh keluar minum bersama dengan kelompok masyarakat, ini permulaan yang baik.

“Kemudian teruskan kepada ke pasar tani jadi kita beramah-masra dengan peniaga-peniaga di situ dan alhamdulillah penerimaan mereka sangat baik dan mereka nampak gembira,” ujar beliau.

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit