Kekalkan BN Di Ayer Kuning, Pilihan Tepat Teruskan Pembangunan – Shamsulkahar

PUTRAJAYA, 16 April – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli menyatakan keyakinannya bahawa pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berlangsung.

Beliau berkata, pengundi di kawasan itu amat rasional dan sedar bahawa hanya dengan memilih wakil rakyat dari parti kerajaan negeri maka pembangunan dan kemajuan setempat dapat diteruskan.

“Saya amat yakin pengundi-pengundi di kawasan Ayer Kuning dapat membuat keputusan yang tepat dan amat rasional bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan tersebut dapat diteruskan.

“Pengundi-pengundi Ayer Kuning amat prihatin dan mengetahui bahawa calon BN, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir hanya mahu menyambung legasi serta bersama dengan kerajaan negeri bagi meneruskan pembangunan insfrastruktur dan kemudahan yang lain.

“Pilih parti yang memerintah iaitu gabungan Kerajaan Perpaduan Negeri Perak dan ia amat penting untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan ini. Saya yakin, banyak lagi perkara-perkara yang hendak dilakukan terutamanya dari aspek kemasyarakatan keseluruhannya,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas mengenai gerak kerja jentera parti, Shamsulkahar menzahirkan keyakinan bahawa kerjasama erat antara BN dan PH akan terus menjadi kekuatan utama pada PRK kali ini.

“Jentera Kerajaan Perpaduan telah membuktikan keupayaannya dalam PRK Nenggiri dan Mahkota sebelum ini dengan kerjasama mantap yang memberi kemenangan kepada gabungan ini. Saya yakin semangat dan gerak kerja yang sama akan diteruskan di Ayer Kuning.

“Gerak kerja yang bersepadu dan komited akan membawa kepada kemenangan ‘total’ dalam PRK ini,” tambahnya.

Pada masa yang sama beliau turut menyeru agar semua pengundi Ayer Kuning keluar mengundi pada hari pengundian nanti bagi memastikan kemenangan BN.

“Kenal pasti pengundi putih dan pastikan mereka keluar mengundi. Itu adalah paling penting untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN,” ujarnya.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.

Calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Ustaz Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, 54 ditentang Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit