Kekalkan BN di Ayer Kuning, Pengundi Perlu Pilih Dr Ustaz Yusri – Norshida
KUALA LUMPUR, 13 April – Kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning telah pun dimulakan selepas proses penamaan calon berlangsung dengan lancar semalam.
Dalam pertandingan tiga penjuru ini, calon Barisan Nasional (BN), Dr. Ustaz Yusri Bakir, ditentang calon dari Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Menurut Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim, pengundi Ayer Kuning perlu membuat penilaian yang bijak dalam memilih wakil rakyat mereka.
“Penilaian ini tidak seharusnya hanya berdasarkan latar belakang calon semata-mata, tetapi juga keupayaan parti yang diwakilinya,” katanya dalam satu kenyataan.
Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat menekankan bahawa dari segi kelayakan peribadi, Dr. Ustaz Yusri tidak dapat dipertikaikan iaitu memiliki latar belakang akademik yang kukuh, pengalaman yang luas, serta keupayaan untuk menjadi wakil rakyat yang berkesan.
“Bagi BN, parti ini tetap berkomitmen untuk mengangkat budaya politik khidmat sebagai asas perjuangan. BN meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap langkah dan keputusan.
“Politik bukan sekadar ucapan manis atau janji semasa pilihan raya; ia adalah amanah besar yang memerlukan komitmen berterusan untuk berkhidmat kepada rakyat. Tanggungjawab sebagai wakil rakyat tidak berhenti di penghujung musim pilihan raya. Sebaliknya, ia menuntut kehadiran berterusan di lapangan untuk menyelami masalah rakyat dan mencari penyelesaian kepada isu-isu yang membebani kehidupan seharian mereka.”
Norshida turut menegaskan bahawa BN bukan hanya hadir saat diperlukan, tetapi sentiasa berada bersama rakyat dalam pelbagai situasi yang membuktikan komitmen parti tersebut dalam membawa perubahan yang nyata dan berimpak, serta menjadi rakan setia dalam membangunkan komuniti.
“Keutuhan perjuangan BN bukan sekadar retorik. Parti ini sentiasa tampil bersama rakyat dan berusaha sehabis baik untuk memastikan kejayaan Dr. Ustaz Yusri dalam PRK ini. DUN Ayer Kuning sewajarnya kekal bersama BN, seiring dengan Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan, sekaligus menjadi simbol kestabilan dan kesinambungan khidmat kepada rakyat,” kata beliau lagi.
Mengakhiri kenyataannya, Norshida memberi keyakinan bahawa pengundi Ayer Kuning akan terus memberi kepercayaan kepada BN berdasarkan rekod kejayaan parti tersebut dalam PRK Nenggiri dan PRK Mahkota sebelum ini. – UMNO Online