Politik Khidmat Jadi Keutamaan BN, Salbiah Turun Padang Ziarah Penduduk Tapah

TAPAH, 11 April – Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Salbiah Mohamed terus membuktikan komitmen dan keprihatinan terhadap rakyat apabila turun padang menziarahi lebih 30 buah rumah di sekitar Parlimen Tapah dalam tempoh dua hari ini.

Kehadiran beliau bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan semangat sebenar perjuangan Barisan Nasional (BN) iaitu mendengar, memahami dan menyantuni warga setempat dalam usaha menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat.

“Pemimpin BN sentiasa dekat dengan rakyat. Kita turun ke lapangan, kita dengar sendiri keluhan mereka. Kita faham denyut nadi rakyat, dan kita bertindak,” jelas Salbiah kepada UMNO Online.

Ujarnya, aspirasi turun padang ini bukan hanya dilaksana pada musim pilihan raya tetapi sememangnya telah sebati dengan perjuangan UMNO/BN.

“BN telah lama mengangkat politik khidmat sebagai budaya. Pemimpinnya tidak hanya hadir untuk meraih undi, tetapi sentiasa turun padang, menyelami masalah rakyat, dan mencari penyelesaian secara langsung.

“Dari isu infrastruktur, pendidikan, hinggalah kebajikan harian, BN konsisten memberi khidmat.”

Jelas Salbiah, politik khidmat bukan hanya slogan, tetapi warisan dan tanggungjawab yang dipikul secara konsisten oleh para pemimpinnya.

“Inilah yang saya cuba dan sedang lakukan iaitu membawa suara rakyat terus ke meja penyelesaian. Politik adalah khidmat, dan khidmat itu adalah tanggungjawab kami,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit