‘PN Jangan Tunggang Isu Kampung Sungai Baru’ – Puad
KUALA LUMPUR, 10 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas pemimpin pembangkang yang menunggang isu membabitkan tanah di Kampung Sungai Baru.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata ini kerana sewaktu menjadi kerajaan, mereka tidak komited untuk membantu penduduk di situ.
Menurut Puad, perkara tersebut terbongkar kerana ada dalam kalangan penduduk Kampung Sungai Baru yang berkata wakil rakyat dan menteri ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyebelahi pemaju.
“Hamzah Zainuddin dan 23 Ahli Parlimen dari PN jangan menunggangi isu Kampung Sungai Baru yang mahu dibangunkan. Kamu mensia-siakan peluang itu masa jadi Menteri dahulu.
“Di perjumpaan itu Pengerusi Jawatankuasa Sementara Penduduk Zainab Alias telah menempelak rombongan 23 Ahli PN itu dengan mendakwa ada bekas menteri terdahulu menyebelahi pemaju.
“Hamzah berjanji akan bawa isu itu ke Parlimen. Apakah itu akan selesaikan masalah? Projek 2016 ini pada awalnya 260 penduduk bersetuju dan 37 lagi membantah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu pada kunjungan pemimpin PN tersebut Zainab Alias mendakwa beberapa bekas menteri dan wakil rakyat terdahulu menyebelahi pemaju, termasuk ahli Parlimen Titiwangsa ketika itu, Rina Harun.
“Kami dah bagi tempoh berapa lama tiada siapa wakil rakyat pun jumpa kami, yang saya sedih YB Rina pun boleh sokong dengan pemaju, tanah kami dia sokong (pemaju), saya marah.
“Saya sebut satu lagi nama menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Annuar Musa, selepas itu jumpa Shahidan Kassim,” ujarnya.
Mengulas lanjut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu berkata perbincangan sebaiknya perlu dilakukan bagi memastikan tiada dalam kalangan penduduk yang berdepan kerugian.
Katanya projek Kerinci Residen tahun 2012 perlu dijadikan pengajaran disebabkan ada dalam kalangan mereka yang termakan hasutan wakil rakyat pembangkang ketika itu.
“Kita teringat projek Kerinci Residen tahun 2012. 408 penduduk setuju berpindah dan dapat pangsapuri tiga bilik berbanding flat asal 1 bilik. 34 membantah kerana hasutan wakil rakyat masa itu. Mereka kini jadi penyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).
“Sebab itu lebih baik berunding semula jika ada ruang. Jangan dengar cakap para penghasut yang menunggangi isu. Jangan ada penduduk rugi macam 34 penduduk Kampung Kerinci,” ujar beliau.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa sebarang pembangunan di Kampung Baru akan mengambil kira sejarah dan status tanah demi memastikan kawasan itu kekal sebagai kampung Melayu.
Katanya langkah berkenaan bagi memastikan kampung Melayu yang terkenal dengan ciri-ciri tradisional itu terus terpelihara namun dalam masa sama menjadi pemangkin kepada pembangunan ibu negara. – UMNO Online