Onn Hafiz Yakin Dr Ustaz Yusri Mampu Bawa Suara Rakyat DUN Ayer Kuning
KUALA LUMPUR, 8 April – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan keyakinannya terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr. Ustaz Yusri Bakir, yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah.
Menurut beliau, Dr. Ustaz Yusri merupakan calon berwibawa, berpengalaman dan diyakini mampu membawa suara rakyat di Ayer Kuning ke peringkat lebih tinggi.
“Saya yakin beliau adalah calon yang berwibawa, berpengalaman, dan mampu membawa suara rakyat serta memastikan kemenangan BN pada 26 April 2025 nanti, insya-Allah,” katanya.
Onn Hafiz turut berkongsi penglibatan aktif jentera UMNO Johor yang turun padang ke kawasan negeri angkat mereka di Ayer Kuning, Perak.
Beliau bersama barisan kepimpinan UMNO Johor hadir dalam program ramah mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Changkat Petai dan PDM Tanjung Keramat untuk menyantuni penduduk setempat, semalam.
Selain itu, beliau turut menghadiri Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN yang disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Hj. Tahir, Temoh.
“Kehadiran padu jentera UMNO Johor ke Ayer Kuning menjadi bukti komitmen dalam memberikan sokongan sepenuhnya kepada jentera tempatan,” tambah beliau.
Onn Hafiz turut menekankan semangat kebersamaan antara negeri angkat, bahagian angkat dan PDM yang menunjukkan kesiapsiagaan BN dalam usaha memperjuangkan kestabilan dan pembangunan untuk masa depan Ayer Kuning.
Beliau turut mengingatkan agar semua pihak kekal bersatu dan memperkukuh saf perjuangan dalam usaha memastikan kemenangan BN di PRK DUN Ayer Kuning, seperti kejayaan yang dicapai dalam PRK DUN Mahkota sebelum ini.
“Johor, sebagai negeri angkat, akan terus membantu sehabis baik dalam usaha memastikan kemenangan berpihak kepada BN. Mari kita terus bersatu, kukuhkan saf perjuangan, dan bekerja keras demi kemenangan Barisan Nasional di DUN Ayer Kuning. Insya-Allah,” ujarnya.
PRK DUN Ayer Kuning dijadual berlangsung pada 26 April ini. – UMNO Online