Mohd Zaidy Sifatkan Dr Ustaz Yusri Figura Berwibawa Untuk Rakyat DUN Ayer Kuning

KUALA LUMPUR, 8 April – Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) dan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning telah berlangsung semalam di Dewan Orang Ramai Temoh, Tapah disertai kehadiran pimpinan utama serta jentera parti dari seluruh negara.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr. Ustaz Mohamad Yusri Bakir, 54, diumumkan sebagai calon BN bagi PRK yang akan berlangsung pada 26 April hadapan.

Dalam hal ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidi Abdul Kadir menyifatkan calon BN sebagai figura berwibawa yang diyakini mampu membawa suara rakyat ke peringkat lebih tinggi.

Ujarnya, Dr Ustaz Yusri mewakili aspirasi rakyat dan diharapkan mampu mempertahankan kerusi ini demi kesinambungan pemerintahan yang stabil dan progresif.

“Dr. Ustaz Yusri Bakir, berusia 54 tahun dan merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, adalah figura yang berwibawa dan diyakini mampu membawa suara rakyat ke peringkat yang lebih tinggi.

“Marilah kita semua berganding bahu, bekerja keras, dan terus berdoa demi melakar satu lagi kemenangan untuk Kerajaan Perpaduan. Ayuh, demi rakyat, demi negeri, dan demi negara maka kita terus mara ke hadapan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Beliau bersama rombongan jentera BN dari Negeri Sembilan, di bawah pimpinan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyatakan komitmen penuh untuk bersama-sama menggerakkan kempen dan usaha hingga memastikan kemenangan berpihak kepada calon BN.

“PRK ini merupakan yang kelima bagi Barisan Nasional, dan kita amat menghargai komitmen semua jentera dari seluruh tanah air. Keserasian antara jentera BN dan PH sangat penting untuk memastikan kemenangan mutlak – sebagaimana kejayaan kita di PRK DUN Nenggiri dan Mahkota,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan daripada Pakatan Harapan Negeri Perak atas kerjasama erat yang ditunjukkan sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU-15.

“Kita telah pun memiliki 33 kerusi di dalam DUN Perak, dan kita perlu memastikan kesemua kerusi ini dikekalkan, termasuk N.48 Ayer Kuning, sebagai simbol kestabilan dan kesinambungan pemerintahan yang berwibawa.

“Keserasian jentera BN dan PH sangat penting dalam memastikan kemenangan mutlak di PRK kali ini, sebagaimana kejayaan yang telah kita terjemahkan di PRK DUN Nenggiri dan Mahkota,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit