PRK Ayer Kuning: Tugas Kita Adalah Bekerja Sebaik Mungkin – Tok Mat Hasan

TAPAH, 8 April – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan para pemimpin dan jentera untuk bekerja sebaik mungkin bagi memenangkan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, terdapat 31,000 orang pengundi di kawasan tersebut yang perlu disantuni sebaiknya.

“Alhamdulilah, Menteri Besar merangkap Pengerusi BN Perak telah pun mengumumkan Dr Yusri Bakir untuk mewakili parti sebagai calon dalam PRK DUN Ayer Kuning ini.

“Jadi, tugas kita semua selepas ini adalah untuk memastikan supaya jentera bekerja sekuat yang boleh untuk menyantuni para pengundi di DUN Ayer Kuning.

“Tak ramai, cuma 31,000 orang sahaja dan kita menjangkakan 75 peratus yang akan keluar mengundi pada PRK ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon, di sini, semalam.

Menurutnya, parti telah menyusun atur jentera termasuk dari negeri dan bahagian angkat untuk menjadikan tugas menyantuni pengundi lebih efisien.

“Kita telah pun menyusun jentera BN. Setiap negeri dan bahagian-bahagian dalam Negeri Perak akan mengambil satu pusat daerah mengundi (PDM) sebagai bahagian angkat.

“Tugasan-tugasan tersebut telah disusun dengan begitu baik oleh Pengurusan BN. Selepas ini kerja dan tugas kita adalah untuk bertemu seramai mungkin pengundi dan menerangkan isu-isu semasa.

“Pihak pembangkang akan memainkan banyak isu. Tetapi kalau mereka nak cakap tentang tarif, bukan Malaysia sahaja. Seluruh dunia kena dan kita bernasib baik kerana tarif yang dikenakan tidak seperti yang kita jangkakan,” katanya lagi.

Ujarnya, BN tidak merancang untuk mengadakan ceramah berskala besar ketika musim berkempen kelak.

“Semua perkara tersebut boleh diterangkan dengan baik oleh jentera kita. Kita tidak bercadang untuk mengadakan ceramah besar-besaran dan lebih menyasarkan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Pada saya, itu lebih efektif.

“Saya berharap agar pengundi-pengundi di Ayer Kuning terus memberikan sokongan kepada BN dan juga Dr Yusri yang telah kita angkat sebagai calon pada PRK ini.

“Berkemungkinan besar kita akan mengguna pakai cara berkempen di Nenggiri dan Mahkota. Tetapi, setiap pilihan raya memerlukan cara dan gerak kerja yang berbeza,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit