Ayer Kuning Tetap Kubu Kuat BN Walau Dilanda Tsunami Politik – Saarani
TAPAH, 8 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai benteng kukuh BN yang tidak pernah goyah meskipun negara beberapa kali dilanda gelombang perubahan politik.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata pengundi Ayer Kuning sentiasa konsisten dalam membuat pilihan dan memilih wakil rakyat daripada parti yang membentuk kerajaan, sekaligus memastikan pembangunan dan kestabilan politik negeri dapat diteruskan.
“Sejarahnya BN adalah menang di Ayer Kuning. Pada tahun 2008 berlaku ‘tsunami politik’, tetapi Ayer Kuning masih menang. Begitu juga Chenderiang dan Parlimen Tapah. Pada 2013 dan 2018 juga berlaku perkara sama, tetapi Ayer Kuning tetap kekal di tangan BN.
“Walaupun pernah berlaku ‘tsunami politik besar’ pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tahun 2022, DUN Ayer Kuning masih mampu dipertahankan.
“Ini menunjukkan bahawa pengundi di Ayer Kuning tahu dan faham bahawa mereka perlu memilih wakil rakyat daripada parti kerajaan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera BN dan pengumuman calon, semalam.
Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamd Hasan, serta seluruh kepimpinan BN, Friends of BN dan pengundi Ayer Kuning.
Beliau yang juga Pengarah PRK Ayer Kuning menjelaskan adalah sesuatu yang janggal sekiranya rakyat DUN terbabit kali ini mahu memilih calon pembangkang.
“Adalah pelik pada PRK ini jika ada orang Ayer Kuning nak pilih wakil rakyat dari pembangkang. Pada PRU lalu, semua parti mahu jadi kerajaan dan kini kerajaan sudah terbentuk.
“Menteri Besar, barisan Exco sudah ada, dan kerajaan ini wajib diberikan mandat untuk menyambung perancangan ‘Perak Sejahtera 2030’,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, perancangan membangunkan Perak sebagai negeri berasaskan industri adalah langkah strategik untuk menarik pelaburan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Agenda kita adalah menjadikan Perak negeri makmur dan rakyat hidup sejahtera. Untuk capai ‘Perak Makmur Rakyat Sejahtera’, kerajaan pusat dan negeri mesti stabil,” katanya.
Tambah beliau lagi, ketika ini Kerajaan Perpaduan di Perak mempunyai 32 wakil rakyat, dan kemenangan di Ayer Kuning amat penting untuk mengembalikan jumlah itu kepada 33.
“Kemenangan ini penting kerana dengan wakil rakyat daripada kerajaan, bantuan dan pembangunan dapat disalurkan dengan lebih mudah. Undilah calon kerajaan demi kestabilan politik dan pembangunan negeri menjelang 2030,” ujarnya lagi. – UMNO Online