PRK Ayer Kuning: Ahmad Zahid Harap Semua Pihak Ganding Bahu Demi Kemenangan Calon BN

TAPAH, 7 April – Pengerusi Barisan National (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar semua pihak berganding bahu untuk menjayakan kemenangan calon BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan ini amat penting untuk menentukan kejayaan Kerajaan Perpaduan mentadbir.

“PRK di DUN Ayer Kuning ini adalah yang ke-5 untuk BN. Untuk Kerajaan Perpaduan, ini adalah PRK ke-8. Ertinya selain itu, kita berazam… Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat berharap agar kemenangan di Nenggiri dan Mahkota dapat dijadikan sebagai contoh di Ayer Kuning.

“Kita tahu kemenangan mutakhir di Nenggiri. Apa yang disebutkan Datuk Seri Saarani tadi bahawa kombinasi undi BN-Pakatan Harapan (PH) memang benar akan memberikan jumlah undi besar, tetapi dalam politik satu tambah satu tidak semestinya dua… ada pelbagai jawapan.

“Dalam situasi begini, ini adalah perang politik dan ia perlu berdasarkan fakta serta cara untuk menenangi hati rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon PRK DUN Ayer Kuning, di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, kesepakatan BN-PH di Perak telah direalisasikan dan ia turut mempamerkan keikhlasan serta semangat setiakawan dalam mentadbir negeri.

“Kita amat berterima kasih kepada rakan-rakan PH yang merealisasi kesepakatan di Perak ini. Bayangkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, mereka telah memperlihatkan keikhlasan walaupun mempunyai banyak kerusi.

“Ertinya Kerajaan Perpaduan bermula di Perak, diikuti Pahang dan Putrajaya. Kejujuran, setiakawan dan keserasian dapat diwujudkan maka akhirnya kesepakatan terbentuk.

“Walaupun kempen sebelah sana (Perikatan Nasional) mengatakan tidak ada perubahan jika kerusi ini dimenangi oleh mereka, tetapi bagi kita, sekali kerusi itu kita pegang… atas kerjasama BN-PH apatah lagi dibantu rakan-rakan, insya-Allah kita akan menang dengan jayanya,” katanya lagi.

Ujarnya, keserasian antara jentera BN dan PH menjadi penyumbang kepada faktor kemenangan di PRK Nenggiri serta Mahkota.

“Di Nenggiri, kita tidak silap memilih calon. Di Mahkota pun kita tidak salah memilih calon. Itu bukan faktor utama tetapi keserasian jentera BN-PH. Itulah sebabnya mereka bersama-sama kita pada hari ini.

“Kita juga mahu melihat bahawa dalam keadaan di mana dalam PRU lalu Ayer Kuning telah membuktikan allahyarham Ishsam adalah seorang calon yang dapat beri sumbangan kepada BN. Namun, saya ingin ucapkan terima kasih kepada pemimpin Tapah terdahulu yang juga membantu kemenangan allahyarham.

“Mudah-mudahan kombinasi orang lama dan baru dapat membantu kemenangan calon kita. Tidak ada orang baru kalau tiada yang lama. Saya amat berterima kasih kepada rakan-rakan BN seluruh negara yang akan berkampung di Ayer Kuning ini untuk pastikan kemenangan calon kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar seluruh jentera dapat bersiap siaga untuk bekerja bagi memberi kemenangan kepada calon BN.

“Kemenangan BN ertinya memberi kejayaan kepada Kerajaan Perpaduan. Jangan jadikan PRK Ayer Kuning sebagai tempat melampiaskan amarah.

“Saya mahu seluruh jentera dapat bersiap siaga untuk menentukan jentera kita bergerak secara serentak. Dengan kekuatan itu, saya harap semua pihak berganding bahu memenangkan calon kita,” katanya lagi.

Terdahulu Dr Yusri Bakir, 54, telah diumum sebagai calon BN untuk PRK DUN Ayer Kuning.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN yang berlangsung di sini, hari ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit