Gabungan Ilmu Dan Latar Belakang, Dr Yusri Calon BN Pertahan DUN Ayer Kuning – Ahmad Zahid
TAPAH, 7 April – Barisan Nasional (BN) menampilkan tokoh berprofil agama, Dr Ustaz Yusri Bakir sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan pemilihan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu.
“Kita meneliti lapan calon sebelum ini namun Dr Yusri Bakir dipilih berdasarkan kelayakan akademik, latar belakang agama serta demografi bahawa isterinya berketurunan Cina. Mudah-mudahan ia menjadi ‘advantage’ kepada beliau.
“Jentera BN dan PH harus berganding bahu dan menggerakkan jentera masing-masing bagi memenangkan Dr Yusri pada PRK ini,” katanya kepada media selepas selepas pengumuman calon PRK Ayer Kuning, di sini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, 46 peratus daripada pengundi DUN Ayer Kuning adalah golongan muda termasuk ramai pengundi pertama kali.
“Kira-kira 46 peratus pengundi di Ayer Kuning merupakan pemgundi-pengundi muda dan terdapat dikalangan mereka adalah pengundi pertama kali.
“Kita telah meminta Wanita, Pemuda dan Puteri berganding bahu untuk menarik sokongan khususnya bagi mengadakan program tersendiri untuk menarik minat pengundi muda menyokong BN,” ujarnya lagi. – UMNO Online