Norliza Yakin BN Pertahankan DUN Ayer Kuning, Trek Rekod Jadi Sandaran
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim yakin Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan April nanti.
Menurutnya, keyakinan tersebut berpaksikan kepada kepercayaan rakyat terhadap rekod pentadbiran BN yang konsisten dan komitmen parti dalam meneruskan kesinambungan pembangunan yang telah dilaksana.
“BN bukan sekadar berjanji, tetapi mempunyai langkah-langkah dan perancangan bagi memastikan pembangunan di kawasan yang ditadbir dapat diteruskan,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau menekankan bahawa BN sentiasa menitikberatkan keutamaan rakyat dan menyediakan inisiatif pembangunan yang berkesan untuk masyarakat secara holistik.
“Dalam menghadapi pilihan raya ini, BN bersiap sedia untuk mempertahankan kawasan tersebut daripada sebarang cabaran pihak lawan. Lebih dari itu suntikan semangat dan keyakinan juga adalah berpaksikan kepada sokongan dan kesatuan dalam BN di Parlimen Tapah itu sendiri.
“Kerjasama erat antara UMNO, MCA, MIC, dan parti-parti sahabat yang mendukung BN menjadi faktor nilai tambah dalam keupayaan untuk mengekalkan kawasan terbabit.”
Norliza juga yakin bahawa penyatuan dalam kalangan pemimpin dan ahli parti akan menjadi kunci kepada kejayaan BN di PRK DUN Ayer Kuning.
“Kami berpegang kepada prinsip perpaduan dan semangat kerjasama yang erat antara parti-parti komponen BN. Ini bukan sekadar perjuangan satu parti, tetapi perjuangan bersama demi rakyat,” ujarnya lagi.
Jelasnya, sokongan rakyat di Ayer Kuning terhadap BN juga dilihat kukuh berdasarkan rekod pentadbiran terdahulu yang berjaya membawa pembangunan dan kemajuan kepada kawasan tersebut.
“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat, termasuk dalam aspek infrastruktur, ekonomi, dan pendidikan.
“Dalam masa yang sama, BN akan terus berusaha mendekati rakyat menerusi kempen yang lebih efektif, mendengar suara dan keperluan mereka serta memberikan penyelesaian yang terbaik,” katanya lagi.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online