Kalau PPBM Ikhlas Nak Bekerjasama, Buktikan Dengan Tindakan – Mohd Ridwan

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridwan Mohd Ali mengingatkan PPBM untuk membuktikan keikhlasan melalui tindakan sekiranya mereka benar-benar ikhlas bagi menjalinkan kerjasama.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Negara menegaskan bahawa kerjasama tersebut sepatutnya berlaku pada 2022, ketika Yang di-Pertuan Agong menyarankan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk untuk mengatasi masalah kerajaan tergantung selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Alhamdulillah. Akhirnya PPBM nyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO. Tapi… biar betul-betul ikhlas, bukan sebab nak selamatkan parti.

“Kerjasama ini sepatutnya dah berlaku sejak 2022 lagi, sewaktu Yang di-Pertuan Agong sarankan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan masa depan orang Melayu.

“Tapi sayangnya, ego politik ketika itu mengatasi nasihat institusi tertinggi negara. UMNO dari dulu perjuang nasib orang Melayu dalam semangat perpaduan kaum,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ujarnya, sekiranya PPBM serius untuk kembali bersama UMNO, mereka perlu memberi pembuktian dengan menyokong dasar-dasar yang membantu orang-orang Melayu di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen dan Dewan Negara.

“Kalau PPBM serius nak kembali bersama, tunjukkan di medan sebenar, sokong dasar-dasar bantu Melayu di DUN, Parlimen dan Dewan Negara.

“Tapi kenapa Rang Undang-Undang (RUU) bantu rakyat miskin bandar dan usaha wartakan Tanah Rizab Melayu pun tidak disambut oleh PPBM? Nak bantu Melayu ke nak jaga kedudukan politik sendiri?

“Kalau betul sayangkan bangsa, mari kita bersatu, bukan hanya pada nama tapi dalam niat dan tindakan,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan, PPBM bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan musuh ketatnya, UMNO demi mencapai matlamat perjuangan politik.

Hamzah berkata, tiada sebab bagi UMNO dan PPBM untuk terus berpecah jika mereka berkongsi perjuangan dan wadah politik yang sama.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menegaskan, asas matlamat perjuangan yang sama sepatutnya membolehkan Bersatu dan UMNO duduk semeja. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit