PRK: Persediaan Kempen, Dekati Segenap Pengundi DUN Ayer Kuning – Hang Tuah
TAPAH, 19 Mac – Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din berikrar untuk menggerakkan jentera sebaiknya dalam mendekati sebanyak mungkin pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK).
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gopeng berkata, ini kerana ia penting bagi memastikan UMNO/Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaan di DUN tersebut.
“Jangan bergelumang dengan ahli UMNO saja kita kena tuju setiap daripada pengundi bawa keluar mereka semua.
“Jangan duduk berkempen dengan penyokong UMNO yang belah dada itu terkeluarlah darah biru berlambangkan BN.
“Pastikan kita kempen kepada kesemua pengundi-pengundi DUN Ayer Kuning ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perjumpaan Bersama Ketua-ketua Penerangan Bahagian Empat Peringkat UMNO Negeri Perak di Dewan UMNO Bahagian Tapah semalam.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said; Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob; Ketua Penerangan Tapah, Meor Haris Meor Akim serta kepimpinan lain.
Dalam pada itu beliau berkata pengundi muda juga menjadi fokus memandangkan 40 peratus pengundi DUN ini daripada kelompok tersebut.
“Dari segi kategori pula kita dapati bahawa 40 peratus daripada pengundi-pengundi DUN Ayer Kuning ini adalah pengundi-pengundi muda.
“Jadi saya minta kerjasama daripada Ketua Penerangan khususnya daripada Pergerakan Pemuda dan Puteri untuk sebaik mungkin dapatkan pengundi-pengundi muda,” ujar beliau.
Mengulas lanjut Hang Tuah turut sama memaklumkan bahawa perbincangan juga turut sama dilakukan bersama wakil daripada Pakatan Harapan (PH) yang akan bersama membantu BN pada PRK ini.
“Kita telah mengadakan mesyuarat berkala dengan wakil PH dan nampaknya komitmen mereka cukup bagus dan kita yakin boleh bekerjasama dengan mereka untuk kemenangan Ayer Kuning ini,” katanya lagi. – UMNO Online