Berkuasa Atau Tidak, Kerja Amal UMNO Konsisten Kepada Rakyat – Razlan
KUALA LUMPUR, 17 Mac – UMNO meneruskan kerja khidmat bakti kepada rakyat dengan melaksanakan pelbagai inisitif dalam memberikan bantuan kepada golongan memerlukan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata pendekatan turun padang yang sinonim dilakukan UMNO sebagai manifestasi kepada keprihatinan dalam membantu kelompok masyarakat yang tidak bernasib baik.
“UMNO ini dari dulu sebenarnya walaupun hilang kuasa atau kita berkuasa pun, sebenarnya dari dulu ini adalah kerja amal UMNO yang selama ini memang sudah dilaksanakan,” katanya.
Mohd Razlan berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Parlimen Sungai Besar yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Sungai Besar.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos; Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi; Penyelaras DUN Sungai Panjang. Datuk Mohd Imran Bin Tamrin dan kepimpinan lain.
Terlebih dahulu beliau melakukan ziarah ke beberapa buah rumah bagi menyantuni penduduk sekitar yang mengalami masalah kesihatan menerusi program Kembara Kasih Ramadan bagi menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur kepada mereka.
“Alhamdulillah, hari ini kita ada sebanyak 280 buah rumah yang akan diperuntukkan untuk ziarah Ramadan ini. Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri pergi pecahan ke zon-zon diikuti dengan JPKKP, penghulu-penghulu dan ketua-ketua cawangan.
“Jadi ini adalah sentuhan kasih yang dirancangkan oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos dan ahli jawatankuasa untuk kita melihat bagaimana keadaan rakyat di bawah,” ujar beliau.
Sementara itu menerusi Majlis Sentuhan Kasih Ramadan pemberian sumbangan kepada 600 fakir miskin dan 280 orang anak-anak yatim seluruh Parlimen Sungai Besar dilakukan bagi meringankan beban mereka pada Ramadan ini dan Syawal yang bakal menjelma.
“Alhamdulillah kita tengok meriah hari ini dihadiri oleh semua rakyat seluruh Parlimen Sungai Besar. Saya harapkan dengan niat suci, ikhlas ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh mereka untuk menyambut hari lebaran ini,” ujar beliau. – UMNO Online