Sentiasa Kerjasama Santuni Isu Rakyat Tanpa Kira Agama, Bangsa – Mohd Isam
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa terus menyatakan komitmen beliau untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tampin berkata ini juga melibatkan kepimpinan di peringkat Negeri Sembilan yang seringkali berganding bahu bagi memastikan agenda membela rakyat terus diperkasa.
“Kami Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan sentiasa bekerjasama menyantuni permasalahan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.
“Keutamaan kami adalah dalam menjaga hak-hak yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Katanya yang turut berkongsi kehadiran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias ke Program Ihya Ramadan Dan Penyampaian Bantuan Ibu Tunggal Serta Asnaf yang diadakan di Masjid Sri Asahan, Tampin yang diadakan baru-baru ini.
Selain menyampaikan bantuan, program ini juga diadakan bagi menyantuni masyarakat setempat sekaligus mengimarahkan lagi Ramadan.
Turut hadir ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar; ADUN Repah, Veerapan a/lSuperamaniam; Penyelaras DUN Gemas, Muhamad Firdaus Rustam dan kepimpinan setempat.
Mohd Isam dalam pada itu turut sama berharap kerjasama daripada pelbagai pihak bagi memastikan tiada dalam kalangan rakyat yang terpinggir mendapatkan bantuan daripada kerajaan.
“Saya turut sempat berpesan kepada semua pihak dapat memainkan peranan agar tidak ada rakyat yang terpinggir dalam menerima bantuan.
“Pendaftaran warga emas dan asnaf-asnaf lain perlu dikemaskinikan dari masa ke semasa,” ujar beliau. – UMNO Online