Banyak U-Turn, Bercanggah… Firma Penyelidikan Dakwa Kerajaan PH Hadapi Krisis Keyakinan Rakyat


KUALA LUMPUR, 27 Feb – Sebuah firma penyelidikqn Citrine One Sdn Bhd menyimpulkan berlaku krisis keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disebabkan rakyat keliru terhadap dasar kerajaan, kata Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, kerajaan PH Terlalu banyak ‘U-turn’, percanggahan dan menteri pula tidak seragam sesama sendiri.

“Kerajaan PH masih diselubungi oleh sindrom penafian kerana yakin mereka masih boleh membohongi rakyat sama seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).”

Beliau berkata demikian merujuk kepada ucapan Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lalu yang berkempen di Pangsapuri Baiduri sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang memaklumkan zaman Najib dulu, banyak sangat bincang tetapi tidak ada keputusan.

“Muhyiddin berbohong kerana Najib telah memansuhkan dua tol di Lebuhraya Cheras-Kajang termasuk Tol Batu 3 Shah Alam, Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) di Johor, Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Sungai Rasau di Selangor,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.

Bidasnya, mungkin sebagai menteri yang semakin tersisih, Muhyiddin tidak diajak berbincang cadangan pengambilalihan lebuhraya bertol sebagaimana surat kenyataan rasmi oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Ia cuma satu cadangan. Cadangan samalah dengan ‘janji’. Muhyiddin pun ada cadangan untuk jadi PM (Perdana Menteri). Sudah pasti dibincang di kalangan penyokong kuatnya. Setakat bincang sahaja, tercapai belum tentu.”

Selaras dengan itu, katanya, semoga pengundi Semenyih tidak memilih Kerajaan PH yang dilanda krisis keyakinan rakyat.

“Tengok calon PH pun sudah jelas, 2hb menang, 3hb selesai semua masalah. Siapa nak percaya?” soal beliau sinis. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit