US Zahir Sokongan Penuh Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR, 28 Feb – Amerika Syarikat (US) menzahirkan sokongan penuh kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah menerima kunjungan hormat Duta US ke Malaysia, TYT Edgard D. Kagan di Wisma Pertahanan pada Khamis.
“Sejurus tiba dari Pulau Pinang selepas mempengerusikan Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) 2025, saya menerima kunjungan hormat Duta US ke Malaysia, TYT Edgard D. Kagan di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.
“Pertemuan ini turut menyentuh perkembangan politik global dan dasar-dasar luar terkini US, lebih-lebih lagi US baru sahaja melalui pertukaran Presiden bulan lalu.
“US menzahirkan sokongan penuh kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini dan berharap agar kerjasama antara US dan ASEAN dapat terus ditingkatkan serta memanfaatkan rantau ini, lebih-lebih lagi US merupakan salah satu daripada lapan negara dalam ADMM-Plus,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia, TYT Sergei Shoigu juga telah mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Pertahanan.
“Selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri, Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia, TYT Sergei Shoigu telah mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Pertahanan.
“Selain memberi ruang dan peluang untuk Malaysia meneroka lebih banyak kerjasama dalam soal keselamatan dan pertahanan, saya telah mengambil peluang ini untuk membincangkan beberapa perkembangan geopolitik global serta kedinamikan sektor pertahanan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut kongsikan komitmen Malaysia dalam menjayakan ADMM-Plus pada November akan datang.
“Sememangnya Malaysia dan Rusia mempunyai hubungan dan kerjasama pertahanan yang baik.
“Saya juga telah kongsikan komitmen Malaysia dalam menjayakan ADMM-Plus pada November nanti yang akan turut melibatkan Persekutuan Rusia,” katanya lagi. – UMNO Online