RUU Akta Pembangunan Semula Bandar: UMNO Perlu Menerajui Perjuangan

CADANGAN draf Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar telah menjadi tajuk bualan ramai dari peringkat rakyat biasa, ahli politik, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pemaju-pemaju perumahan, golongan professional seperti saya serta ahli-ahli akademik.

Bagi rakyat biasa yang mempunyai hartanah seperti rumah kos rendah dan flat yang sudah lama dibina sudah tentu terfikir ada baiknya tapak tanah rumah mereka dibangunkan semula. Sudah pasti akan adanya pampasan yang adil dan rumah lama mereka digantikan dengan rumah yang lebih selesa berbanding sekarang.

Namun, ada pula beberapa isu dan cabaran yang mereka perlu fikirkan jika akta ini dikuatkuasakan. Antaranya ialah kemampuan membeli rumah baru yang sudah tentu lebih mahal, kemampuan mendapatkan pinjaman bank untuk pembelian rumah, kos penyelengaraan dan kos cukai taksiran dan cukai tanah yang sudah pasti akan lebih mahal dari yang ditanggung sekarang.

Pihak Kerajaan pula perlu memikirkan persedian mereka untuk memastikan akta ini boleh berfungsi dengan baik. Isu perlaksanaan dan dasar-dasar kerajaan termasuk ‘networking’ diantara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Peguam dan Mahkamah perlu bersedia menjadi pihak semak dan imbang didalam memastikan hak asasi pemilik hartanah ini dilindungi seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Ahli-ahli politik pula perlu menjadi telinga dan suara rakyat yang rata-rata dari golongan berpendapat rendah atau miskin bandar bagi memastikan hak asasi mereka dilindungi dan dipertahankan mengikut peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Pengubal Undang-Undang iaitu Ahli Parlimen wajib membahas rang undang-undang ini dengan setelitinya supaya tiada kelompangan undang-undang bila akta ini diluluskan di Parlimen dan dikuatkuasakan.

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukan ‘Hak Terhadap Harta’ iaitu tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali peruntukan undang-undang dan tiada undang-undang yang memperuntukan pengambilan secara paksa tanpa pampasan yang memadai.

Merujuk kepada ahli UMNO pula, Perkara 3.7 Perlembagaan UMNO menegaskan bahawa Parti UMNO memperjuangkan kewujudkan satu kerjasama yang kuat pada semua kaum di Malaysia berasaskan ‘Hak Asasi Manusia’.

Adalah ditegaskan bahawa hak memiliki harta serta mempertahankan hartanah yang dimiliki juga merupakan salah satu tunjang prinsip Hak Asasi Manusia dibawah deklarasi hak asasi manusia sejagat Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Oleh itu, saya berpendapat bahawa adalah wajar untuk semua kepimpinan UMNO diperingkat cawangan dan bahagian khasnya yang berada di kawasan bandar turun ke padang untuk mendengar keluhan dan kerisauan rakyat jika Akta ini diluluskan di Parlimen tanpa ada input-input praktikal yang berlaku dilapangan. Sampaikanlah inpu-tinput ini kepada Ahli Parlimen kita di Parlimen untuk dibahaskan.

Isu ini ia bukan sahaja melibatkan orang Melayu sahaja tetapi akan melibatkan hak hartanah semua rakyat Malaysia termasuk kaum Cina dan India di bandar-bandar.

Perjuangan Parti UMNO untuk kembali sebagai parti yang dominan bermula dari landasan perjuangan kita yang dinyatakan di dalam Perlembagaan UMNO.



Adzly Ab Manas
Peguam Hak Asasi Manusia.
Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-Undang.
AJK Bahagian UMNO Bahagian Sungai Buloh.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit