Pemuda UMNO, AMPG Kukuh Hubungan Erat… Fokus Isu Anak Muda
KUALA LUMPUR, 25 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini menerima kunjungan daripada Angkatan Muda Partai Golkar Indonesia (AMPG) ke Ibu Pejabat UMNO dalam meneruskan hubungan erat antara dua parti yang sudah lama terbina.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata sebagai sayap muda parti, Pemuda UMNO dan AMPG mempunyai kebersamaan iaitu kilang dalam melahirkan pemimpin baharu.
“Antara persamaan yang nyata tidak boleh nafikan adalah AMPG adalah kilang untuk melahirkan pimpinan bagi negara Indonesia.
“Sama juga pada Pemuda UMNO adalah kilang untuk melahirkan pemimpin bagi negara Malaysia.
“Sudah tentu kedua parti ini mempunyai rahsia yang mana kita boleh sinergikan bersama dan insya-Allah ini akan meneruskan niat baik ini untuk masa depan dua buah negara yang jauh lebih baik,” katanya menerusi sidang media yang diadakan sebentar tadi.
Sementara itu Pengerusi Agung Golkar Said Aldi Al Idrus turut menyifatkan kedatangan mereka kali ini sebagai mengukuhkan hubungan antara kedua-dua parti itu.
“Parti Golkar ini dengan UMNO itu sudah lama bersama. Dulu para pemimpin-pemimpin kita melalui pertemuan harmoni, mereka selalu berjumpa dengan nilai kekeluargaan sehingga banyak permasalahan Indonesia dan Malaysia itu mudah teratasi.
“Hari ini kami mulai kembali ingin menguatkan lagi persahabatan ini,” ujar beliau.
Mengulas lanjut mengenai perbincangan dua hala, Dr Akmal memaklumkan pelbagai isu disentuh membabitkan kepentingan orang muda di Malaysia dan Indonesia antaranya sekolah politik, pendidikan, tenaga kerja.
Sementara itu kata beliau Kepengerusian ASEAN pada tahun ini juga akan dimanfaatkan untuk menganjurkan meja bulat dalam kalangan pemimpin parti-parti muda membabitkan penyertaan negara Asean.
“Sudah tentu Pemuda UMNO dan juga Puteri UMNO mengambil ruang dan peluang ini memperkukuhkan hubungan antara pimpinan-pimpinan muda Asean duduk dalam meja bulat untuk bincangkan isu-isu yang berkait rapat dengan anak muda.
“Pelaksanaannya kita akan dapatkan pandangan bersama dengan pemuda-pemuda parti yang lain,” ujar beliau.
Turut hadir Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah; Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO; Siti Sokhleha Nordin; Setiausaha Agung AMPG, Mohamad Ikhsan Nurdjamil dan kepimpinan kedua-dua sayap parti. – UMNO Online