Ahmad Zahid Pengerusi Mesyuarat Bencana Negara, Bincang Isu Banjir Di Sabah Dan Sarawak

KOTA KINABALU, 24 Feb – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa ‘High Level Community’ (HLC) Pengurusan Bencana Negara bilangan 1 bagi tahun ini.

Mesyuarat tertutup yang bermula pukul 10 pagi itu, turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick, ketua-ketua jabatan dan agensi Persekutuan serta kerajaan negeri.

Antara agensi yang menghadiri mesyuarat berkenaan termasuk Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Left Jen Datuk Mohd Sofi Md Lepi.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam kenyataan berkata mesyuarat berkenaan membincangkan isu dan penyelesaian berkaitan situasi bencana banjir di Sabah dan Sarawak yang terkesan sejak Januari lepas.

Beliau berkata sebagai langkah segera, mesyuarat telah meluluskan pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di Long Busang di daerah Belaga Sarawak, manakala PPKB di kawasan lain, NADMA akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Katanya setakat ini, hanya satu PPKB yang telah dibina di Johor iaitu di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi.

“Bagi pelan mitigasi jangka panjang, NADMA bersama Jabatan Pengairan dan Saliran akan merealisasikan pelaksanaan pelan tersebut, termasuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terkini khususnya dalam pengurusan dan pengurangan risiko bencana,” katanya.

Ahmad Zahid berkata di Sabah, sebanyak 14 projek rancangan tebatan banjir akan dilaksanakan iaitu dua projek tebatan banjir telah siap dan berada dalam tempoh liabiliti kecacatan, dua projek dalam fasa prapelaksanaan dan 10 projek sedang dalam pembinaan.

Sementara di Sarawak, 10 projek tebatan banjir telah dirancang dan dua daripadanya telah siap dibina dan masih dalam tempoh liabiliti kecacatan, sementara dua projek sedang dalam pembinaan dan enam dalam fasa prapelaksanaan.

Beliau berkata banjir yang melanda Sabah baru-baru ini melibatkan seramai 9,734 mangsa terdiri daripada 3,120 ketua isi rumah (KIR) yang telah dipindahkan di 68 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Bencana tersebut telah menyebabkan kerosakan beberapa infrastruktur awam seperti jambatan gantung di daerah Kota Marudu dan Pitas.

Di Sarawak, pada Monsun Timur Laut 2024/2025, telah mencatatkan purata hujan tertinggi sebanyak 900mm berbanding kebiasaan purata hujan pada 450mm menyebabkan bencana banjir yang menjejaskan 5,012 KIR melibatkan 16,670 mangsa telah dipindahkan ke 85 PPS. Bagaimanapun, 32,901 keluarga yang menjadi mangsa banjir tidak berpindah ke PPS.

Bagi mangsa tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri, seramai 60 KIR melibatkan 209 mangsa masih mendapat perlindungan di Dewan Kampung Sukan Petronas.

“Kerajaan Sarawak sedang mengenal pasti kawasan perumahan sementara bagi menempatkan keluarga ini untuk memberi keselesaan kepada warga emas, kanak-kanak dan ibu mengandung sementara menanti Kampung Lereng Bukit dibina semula dan masalah cerun tanah dibaiki.

“Sarawak menganggarkan sebanyak 1,335 projek infrastruktur awam telah rosak dan memerlukan pembaikan dan penyelenggaraan segera kesan daripada banjir itu,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit