Masa Untuk Bersuara Pertahankan UMNO – Dr Asyraf Wajdi
LENGGONG, 4 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan pentingnya UMNO berdiri teguh dalam mempertahankan prinsip perjuangan parti meskipun menghadapi pelbagai tuduhan dan fitnah dari luar.
Menurut beliau, terdapat banyak tuduhan daripada pihak luar terutamanya pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang menggambarkan seolah-olah UMNO ‘gila kuasa’ serta menolak penyatuan ummah dalam kalangan masyarakat Islam serta digambarkan parti yang dicucuk hidung.
“Terlalu banyak fitnah di luar sana terutamanya pimpinan PN yang gambarkan seolah-olah UMNO ini sebagai gila kuasa, kononnya menolak penyatuan ummah dalam masyarakat beragama Islam, digambarkan bahawa UMNO ini adalah parti yang dicucuk hidung oleh Dap.”
Beliau menjelaskan bahawa selagi mana Kerajaan Perpaduan tidak melanggar pendirian UMNO atas nama agama, bangsa dan tanah air maka parti itu akan terus bersama demi kesejahteraan rakyat.
Dalam ucapannya pada Program Penerangan Isu-Isu Semasa di Lenggong malam tadi, beliau dengan tegas menolak pelbagai tuduhan kepada UMNO.
“UMNO tidak pernah mengkhianati apa-apa juga gabungan dari dulu hingga kini termasuk penyatuan ummah dan Muafakat Nasional tetapi yang khianat adalah parti yang berlabelkan Islam apabila dalam senyap-senyap mengadakan rundingan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentuk Perikatan Nasional.
“Kita tanya dalam mesyuarat dua kali dan diminitkan tapi tak mengaku dan akhirnya dibuat pengisytiharan bahawa mereka terlibat dalam PN,” katanya merujuk kepada tindakan Pas yang disifatkan bertentangan dengan semangat perpaduan.
Beliau menegaskan bahawa dasar dalam UMNO hanya boleh ditentukan melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
“Sebelum ini UMNO berpegang ketetapan ‘No Dap, No Anwar, No PPBM’ iaitu sebelum menyertai Kerajaan Perpaduan tetapi keadaan ini berubah.”
Dr Asyraf menekankan bahawa penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan pada hari ini bukan atas kehendak atau perancangan sebagaimana didakwa sebaliknya sebagai mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong.
“Kita perlukan kuasa kerana kita mahu mempertahankan agenda memperjuangkan agama, bangsa, dan tanah air.
“Kita berada dalam Kerajaan Perpaduan nak memperkukuhkan parti kita, bukan nak menguatkan parti lain. Kita bukan angkuh tapi kita nak pertahankan agenda parti kita. Selama terbentuknya Kerajaan Perpaduan adakah benar Islam terancam?”
Dr. Asyraf juga mengingatkan ahli-ahli agar tidak mudah terpedaya dengan sentimen tanpa menyemak fakta, misalnya berkaitan dengan agihan bantuan kepada sekolah-sekolah persendirian Cina sedangkan inisiatif dan bantuan kepada pelajar aliran kebangsaan dan bangsa Melayu tidak pernah dipinggirkan.
Beliau turut menyenaraikan inisiatif yang dilaksanakan oleh UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sebagaimana tindakan Presidennya selaku Timbalan Perdana Menteri yang melaksanakan pelbagai pendekatan berkaitan Islam.
“Ini termasuklah Dasar Tahfiz Negara, Pra Tahfiz di semua tadika KEMAS, Halal Hub dan macam-macam lagi yang kesemuanya adalah demi untuk menjaga kepentingan bangsa Melayu.
“Hanya UMNO yang memahami dan menjiwai perjuangan agama, bangsa, dan negara, maka kerana itu UMNO perlu kembali dominan,” ujar beliau lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ahli MKT UMNO merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ahli MKT UMNO, Datuk Hasmuni Hassan; Ahli MKT UMNO, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid; Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Salbiah Mohamed; Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Hang Tuah Din serta kepimpinan dan anggota parti setempat. – UMNO Online