Pembangkang Tak Kompeten, Tak Pernah Bentang Belanjawan Bayangan – Azhar
KUALA LUMPUR, 3 Nov – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menempelak Perikatan Nasional (PN) yang pada masa kini masih gagal membentangkan belanjawan bayangan meskipun seringkali berkata bahawa mereka lebih kompeten dalam mentadbir kerajaan.
Azhar yang juga Ahli Dewan Negara berkata suatu yang janggal untuk mana-mana pembangkang tidak memperlihatkan belanjawan mereka kepada rakyat, kerana sebagai pembangkang mereka semestinya mahu menyaingi belanjawan kerajaan.
“Kebiasaan sekiranya Menteri Kewangan bentangkan belanjawan beberapa hari kemudian mesti oposisi parti akan kemuka juga belanjawan alternatif mereka itulah namanya pembangkang yang kompeten.
“Itulah juga pembangkang yang ada kerja melihat semak dan imbang, malah sebelum ini ada dalam bahagian belanjawan kerajaan tetapi pembangkang bersetuju namun ada juga tak bersetuju yang disertai oleh pandangan mereka bagi bab-bab yang tertentu.
“… tetapi pembangkang kali ini dia pun langsung tak ada. Bahkan bercakap tunggu kami dapat kuasa bahawa kami buat itu maknanya mereka tidak ada dalam persediaan. Langsung tak ada belanjawan itulah standard ahli-ahli Parlimen pembangkang,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Mengulas lanjut beliau berkata pembangkang juga tidak rasional dan tidak matang dalam memanfaatkan Dewan Rakyat untuk membawa nasib rakyat sebaliknya menyentuh perkara remeh.
“Tidak berbahas dalam konteks. Kalau mereka berbahas pun bukan hal belanjawan tetapi hal-hal remeh temeh, menyakiti hati, menyindir, merendahkan mertabat orang lain.
“Bukan nak bercakap belanjawan yang terbaik daripada mereka,” ujar beliau.
Terdahulu, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti pembangkang tidak perlu membentangkan bajet bayangan mereka.
Beliau berkata, pihak yang ingin melihat bajet alternatif perlu menunggu sehingga PN mengambil alih kerajaan. – UMNO Online