Pemuda UMNO Pasir Salak Bersama Sukarelawan UiTM Jayakan Misi Bantuan Pasca Banjir

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak bersama 80 orang sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak semalam menjayakan usaha misi bantuan pasca banjir di sekitar kawasan Pasir Salak.

Dalam satu perkongsian di laman Facebook, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak yang diketuai Ketuanya Mohd Yafiz Mustapa dan sukarelawan UiTM yang dipimpin Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Prof Madya Sr Dr Mohd Azian Zaidi, menjalankan operasi di Kampung Pulau Tiga Kiri dan Kampung Pasir Garam, di Pasir Salak.

“Misi Pasca Banjir ini bermula seawal jam 10.00 pagi dan tamat pada jam 5.00 petang membabitkan kerja-kerja pembersihan kesan banjir dan membuang perkakasan serta peralatan yang telah rosak di 13 buah rumah penduduk di dua perkampungan,” kata Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak.

Jelasnya lagi, misi tersebut turut dibantu oleh DSP/PB Mohd Iqbal Abdullah selaku Pegawai Operasi Bencana Negeri dan Penolong Pendaftar Kanan (Kokurikulum) UiTM Cawangan Perak Hadijah Saleh.

Tambahya lagi, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak yang mewakili UMNO Bahagian Pasir Salak juga ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak Akmal Zharif Ahmad Kamal yang juga Ketua Pemuda Tambun merangkap Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Tinggi yang banyak membantu menjayakan program tersebut.

“Terima kasih juga kepada Prof Madya Dr Nur Hisham Ibrahim, yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Perak, CADO Kampung Gajah Norhisyam Karno, pasukan Kemas Pasir Salak, Pengerusi JPKK Kampung Pasir Garam Ust Mohd Mohamad Saibi dan Pengerusi JPKK Pulau Tiga Ahmad Tarmizi Aziz juga semua pihak yang membantu menjayakannya”, katanya.

Baru-baru ini, selain di dua kampung tersebut, beberapa kawasan di Pasir Salak juga mengalami banjir antaranya seperti di Kampung Biak Darat, Kampung Tanjung Bidara, Kampung Teluk Sareh Hulu, Kampung Empai, Kampung Toh Paduka Raja, Kampung Baru, Kampung Teluk Memali dan Kampung Pasir Jenderis. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.