Integriti Diketepikan… Apakah Tipu Kelayakan Akademik Pra-Syarat Jadi Pemimpin PH? – Pemuda UMNO


KUALA LUMPUR, 18 Feb – Pemuda UMNO menimbulkan persoalan apakah pra-syarat untuk menjadi calon dan berada dalam hierarki kepimpinan Pakatan Harapan (PH) adalah dengan menipu kelayakan akademik.

Bidas Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, apa jua alasan yang diberikan ternyata pemalsuan dan penipuan status kelayakan akademik adalah suatu kesalahan moral yang besar kerana melibatkan integriti seorang pemimpin.

“Jika di luar negara, pemimpin-pemimpin bukan sahaja terpaksa melepaskan jawatan tetapi ada yang didakwa dan merengkok dalam penjara seperti yang berlaku di Sepanyol, Belgium dan India.

“Hakikatnya, rakyat tidak memerlukan pemimpin politik yang ada berjela-jela sijil akademiknya tetapi yang paling mustahak punya kejujuran berkhidmat dan berintegriti tinggi.

“Jika status akademik diri pun hendak dipalsukan, apa lagi yang boleh diharapkan daripada Kerajaan PH yang kononnya sedang membina Malaysia Baharu,” tegasnya dalam hantaran di facebooknya.

Asyraf berkata demikian ketika mengulas mengenai pengakuan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bagi PH, Muhammad Aiman Zainali, sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar perdana mengenai status sebenar ijazah kedoktoran (PhD) menantu kepada bekas ADUN Semenyih itu.

Ujar Asyraf lagi, ini merupakan rentetan setelah siri-siri pembongkaran oleh warga netizen sehingga memaksa pengakuan status sebenar kelayakan akademik seorang demi seorang pimpinan PH termasuklah di kalangan menteri-menteri, menteri-menteri besar dan timbalan menteri.

“Terbaru calon PH di Semenyih, Aiman pula mengakui tersilap atau terlupa mengemaskini biodata di laman profesional ‘LinkedIn’.

“Sedangkan dari awal lagi adalah salah untuk mengaku punya sijil PhD walaupun dengan alasan hanya sekadar ‘menjangkakan akan tamat pada 201’,” katanya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.