Jentera Parti Kekuatan UMNO/BN, Jangan Ambil Mudah Tanggungjawab Bersama – Mohd Rafi

TASEK GELUGOR, 14 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menasihati semua jentera penerangan untuk tidak mengambil mudah tanggungjawab dalam memperkukuhkan UMNO, terutama ketika menghadapi lanskap politik yang semakin mencabar.

Menurut beliau, kekuatan sebenar UMNO terletak pada keupayaan jentera partinya di semua peringkat, dari akar umbi hingga ke pimpinan tertinggi.

Katanya, tanpa jentera parti yang efektif dan mantap terutamanya pergerakan sayap-sayap, UMNO akan menghadapi kesukaran besar untuk menawan hati pengundi.

“Kita perlu jaga dan perkuatkan rumah (UMNO) kita, memperkuatkan jentera parti di semua peringkat terutamanya di bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga ke peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Kelebihan yang ada pada UMNO adalah jentera parti dan sekiranya tidak memanfaatkan jentera ini maka UMNO tidak dapat mencipta kemenangan sama ada Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK). Elemen memperkuatkan jentera parti sangat penting.

“UMNO perlu terus mendekati pengundi-pengundi Melayu yang telah memberi respon yang sangat positif. Sebagai contoh pada PRK Nenggiri dan Mahkota, pengundi Melayu telah menyatakan signal yang positif dan telah beri kepercayaan semula pada UMNO dan BN. Jangan lepaskan peluang dan terus dekati serta tarik semula mereka yang dulu pernah bersama parti ini dan insya-Allah akan kembali bersama dengan UMNO/BN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Jelajah Penerangan UMNO di Dewan UMNO Bahagian Tasek Gelugor, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang Datuk Mohd Noor Ahmad; Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Omar Abdul Hamid dan kepimpinan bahagian serta seluruh jentera penerangan UMNO Tasek Gelugor.

Mengulas lanjut, Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan juga berharap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO terus dekati dan menyakinkan anak-anak muda.

“Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO bahagian diharap agar terus mendekati pengundi-pengundi muda kerana pada pilihan raya lalu, UMNO kehilangan dan kekurangan sokongan pengundi muda. Perbanyakkan program serta perjuangkan nasib mereka.

“… dan ini juga telah membuktikan yang cukup jelas pada PRK Nenggiri dan Mahkota, pengundi muda telah beri kemenangan serta percaya anak-anak muda akan terus kembali pada UMNO/BN,” katanya lagi.

Pada masa Rafi juga percaya bahawa UMNO/BN akan terus bangkit dan memperkukuhkan kedudukan politik berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pada PRK baru-baru ini.

“Saya amat percaya bahawa UMNO/BN akan kembali bangkit dan telah dibuktikan pada PRK lalu… selepas ini kita akan berhadapan dengan PRN Sabah pula. UMNO/BN Sabah akan menunjukkan satu prestasi yang baik. Selepas itu UMNO/BN akan berhadapan dengan PRN Melaka, Johor dan seterusnya pada PRU ke 16.

“Prestasi yang ditunjukkan oleh UMNO/BN Melaka dan Johor, peluang sangat cerah untuk perkuatkan di negeri-negeri tersebut,” ujarnya.

Untuk rekod, UMNO Bahagian Tasek Gelugor merupakan bahagian ke-29 diadakan Jelajah Penerangan UMNO yang diadakan bertujuan memantapkan lagi komunikasi dan penerangan kepada ahli, akar umbi mahupun para pengundi.

Dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said ia diadakan dengan pelbagai pengisian dalam usaha membantu ahli dan kepimpinan akar umbi berdepan senario politik yang dinamik hari ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.