Jaga Rukun Parti, Pastikan UMNO Terus Kekal Relevan – Gulam

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muzaffar Gulam Mustakim berpandangan akar umbi parti perlu rasional dalam menjaga kerukunan UMNO sebagai sebuah keluarga besar.

Menurut beliau ini kerana, disiplin sebagai pendukung parti menjadi kekuatan kepada UMNO bagi memastikan parti keramat ini terus relevan dalam mendepani cabaran politik mendatang.

“Kalau benda yang nak dibuat boleh menambah undi dan keuntungan kepada parti dipersilakan kerana kadang-kadang kita syok sendiri. Kerana sebagai pemimpin ataupun ahli itu kalau dia rasa bertanggungjawab dia tidak akan merosakkan parti dengan melakukan perkara yang mencemarkan parti ini.

“Ini adalah rasa tanggungjawab dan disiplin ahli parti tapi disebabkan ada yang berfikiran aku tak dapat, kau tak dapat.. kau tak dapat, aku tak dapat… ini adalah salah.

“Setiap tingkah laku, tindakan yang kita buat kena lihat kepada parti ini yang kita kena jaga rukunnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan di Auditorium Menara Dato Onn, hari ini.

Turut hadir Naib Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Zulkifli Zainuddin; Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Datuk Shamsul Bahari Abdul Aiziz; Ketua Pemuda, Mohd Fitri Che Ree.

Gulam Muzaffar yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu dalam pada itu turut menambah bahawa parti lawan seperti Pas, bijak dalam menutup kelemahan mereka daripada diketahui umum.

Namun begitu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri membawa padahnya tersendiri buat parti itu.

“Kalau kita tengok orang Pas banyak dah isu-isu Pas tu tapi dia tak pernah cerita buruk parti dia nasib mereka baik.

“Namun begitu alhamdulillah ada Tan Sri LV masuk dalam Pas senang kerja kita dekat Nenggiri,” ujar beliau.

Untuk rekod, UMNO Bahagian Titiwangsa merupakan bahagian ke-28 diadakan Jelajah Penerangan UMNO yang diadakan bertujuan memantapkan lagi komunikasi dan penerangan kepada ahli, akar umbi mahupun para pengundi.

Dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said ia diadakan dengan pelbagai pengisian dalam usaha membantu ahli dan kepimpinan akar umbi berdepan senario politik yang dinamik hari ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.